Sunday 21 October 2012

Menunggu Aidul Ad'ha

Kemuliaan hari Arafah

PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali ('arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.
Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.
Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."
Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.
Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: "Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu." (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).
Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : "Kusut masai dan penuh debu." Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.
Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: "Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku." (riwayat Imam Ahmad).

Wednesday 26 September 2012

Menjaga Mata Di Usia 40 an

USIA tidak mampu dihindari. Semakin bertambah angka, pelbagai organ tubuh turut terjejas dan semakin menurun prestasinya.
Jantung, paru-paru dan buah pinggang antara yang terkesan akibat proses penuaan lalu menjejaskan kesihatan malah nyawa.
Bagusnya, orang kita semakin sedar kepentingan menjaga kesihatan dengan melakukan pelbagai pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan pelbagai lagi.
Namun, pemeriksaan mata kurang diberi penekanan. Tahukah anda, kebarangkalian untuk menjadi buta tanpa melihat sebarang simptom amat tinggi terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas?
Glaukoma iaitu kerosakan pada saraf optik antara punca kebutaan yang berlaku secara senyap tanpa menunjukkan sebarang simptom dan sebenarnya ia mampu dirawati jika melakukan pemeriksaan mata lebih awal.
Dekan International Medical School, Management & Science Universiti (MSU) dan Pakar Perunding Oftalmologi, Profesor Dr. Normalina Mansor berkata, ramai individu yang menjadi buta akibat glaukoma kerana lambat melakukan pemeriksaan.
"Ramai yang tidak perasan mata juga sama penting seperti organ-organ lain dan perlu diberi perhatian dengan melakukan pemeriksaan terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
"Ini kerana, sistem dan organ-organ badan akan terjejas apabila kita semakin berusia termasuklah mata.
"Kebanyakan individu hanya berjumpa dengan pakar mata apabila keadaan mata semakin teruk atau berada di tahap yang tidak mampu dirawati.
"Mereka terkejut apabila saya maklumkan masalah mereka seolah-olah perkara sedemikian tidak akan berlaku sedangkan ia berubah mengikut usia.
"Jangan sekadar melakukan pemeriksaan tahap kerabunan di kedai-kedai cermin mata kerana mereka tidak dapat mengesan lebih mendalam tentang masalah mata kecuali di klinik pakar mata," ujarnya ketika ditemui di Klinik Pakar Dr. Normalina, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.
Empat jenis masalah mata yang menjadi punca utama kebutaan adalah glaukoma, katarak, degenerasi makula dan diabetik rinepati.
Terang Normalina, pelbagai lagi masalah mata lain akibat usia yang semakin menganjak boleh menjejaskan kehidupan harian.
Selain buta, sekurang-kurangnya individu yang mempunyai masalah mata mengalami rabun dekat atau jauh, ketidakselesaan, kabur penglihatan dan imej yang tidak lurus.
Berikut antara masalah mata yang sering dihadapi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Tuesday 25 September 2012

6 Cara Mencapai Keredaan Allah


1. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.

Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.
Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”

Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

2. Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.
 
3.Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

4. Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

5. Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

6. Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.

Sunday 12 February 2012

Kenapa Doa Terhalang ???

DOA merupakan senjata bagi orang Islam. Ini sebenarnya adalah hadiah Allah untuk kita. Allah Maha Mendengar, Maha Pengasih, Maha Pemurah. Ada kalanya kita rasa kita telah berkali-kali berdoa tapi Allah belum memperkenankannya.

Selain itu adalah ujian dari Allah ingin menguji keikhlasan dan keimanan kita; kita juga perlu mengkaji di mana silapnya kita. Sebenarnya banyak perkara yang boleh menjadi hijab atau penghalang kepada doa-doa kita itu.

Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar yang pernah kita lakukan dan salah satu cara untuk mengatasinya dengan bertaubat nasuha yakni taubat yang sungguh-sungguh.

Di sini dibentangkan lapan belas perkara yang menjadi hijab atau penghalang doa:

1. Orang yang membunuh orang lain tanpa tujuan.

2. Orang yang menaburkan cerita yang belum tentu sahih

3. Orang yang melakukan pekerjaan yang serupa binatang.

4. Orang yang mengekalkan minum arak atau benda-benda lain yang boleh memabukkan.

ALLAH telah berfirman: ”Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu dan menghalangi kamu dari mengingati ALLAH dan sembahyang, maka berhentilah kamu dari mengerjakan pekerjaan itu. ” (AI Maidah: 91).

Keterangan di atas sesuai dengan Hadis Rasulullah SA W yang bermaksud ’Semua minuman yang memabukkan adalah arak dan semua arak adalah haram. ” Riwayat Muslim

5. Orang yang mengekalkan zina, iaitu dosa besar yang tidak akan diampunkan selama-lamanya.

6. Orang yang menderhakai ibubapanya atau salah seorang daripadanya. ALLAH telah berfirman; ”Dan Tuhanmu telah mnnerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dari-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua jangan kamu keluarkan perkataan kasar terhadap keduanya dan hendaklah kamu ucapkan perkataan yang mulia (lemah-lembut). Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepadanya dan hendaklah engkau katakan

”Wahai Tuhan kasihilah kedua ibubapa kami dan berilah Rahmat-Mu. Biasanya terhijab doa adalah kerana dosa-dosa besar.....Untuk mengatasinya bertaubatlah dengan taubat nasuha; taubat yang sungguh-sungguh kepada keduanya, sebagaimana mereka mendidik kami di waktu kecil.”
Al Israk: 23-24

7. Orang yang mengerjakan suatu pekerjaan yang menyalahi syariat seperti bermain silap mata.

8. Ahli nujum yang mengkhabarkan nasib orang lain sedangkan kehidupan kita dari alam roh hingga ke akhir hayat telahpun ALLAH tetapkan sejak azali lagi.

9. Orang yang hasad dengki sesama umat Islam. Dia suka orang lain ALLAH timpakan bala malah mencemburui seandainya orang lain yang dikurniakan nikmat Tuhan.

10. Orang yang suka mengadu domba, memukul canang kepada orang lainsupaya timbul pecah-belah antara kedua belah pihak. Kadangkala mengakibatkan kedua-dua pihak itu tidak bertegur sapa selama lebih dari tiga hari tanpa keuzuran syarie.

11. Orang yang suka mengumpat hal orang lain terutama terhadap orang-orang alim yang cinta dengan ALLAH

12. Orang yang mengambil cukai dari harta manusia tanpa redha mereka. Inilah perkara yang paling ditakutikerana ketika di dalamkubur lagi akan ditimpakan azab yang pedih.

13. Orang yang menjual barang dengan cara yang haram, mengangkat jual beli dengan sumpah yang dusta, contohnya menaikkan harga barang-barang dua tiga kali gandanya dari harga asal. Menipu dalam sukatan dan timbangan dan memakan harta riba.

14. Orang yang membenci para sahabat Rasulullah SAW.

15. Orang yang menunjuk-nunjuk diri dengan gayanya yang lemah-longlai seperti mayang di depan orang lain supaya mereka merasa kagum dengan kecantikkannya.

16. Orang yang bermain catur dan judi.

17. Orang yang bermain gendang yang kecil di tengahnya, luas di kedua tepinya tetapi tepi yang ada kulit itu lebih luas daripada yang tiada berkulit. Kalau di zaman sekarang ini kompang dan gendang yang dibubuh lingkaran rotan di dalamnya supaya terdengar bunyi gentanya yang mengasyikkan.

18. Orang yang bermain rebab, biola dan seruling (serunai). Oleh itu sebagai nasihat kepada kita bersama, jika kedapatan perkara-perkara yang dibentangkan itu pada diri kita, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Agar kita mendapat falah (kemenangan) di Akhirat sebelum datangnya maut.

Tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh melalaikan kita dari mengingati ALLAH juga perkara-perkara yang menjauhkan diri kita dari-Nya. Semuga ALLAH SWT menggantikan dengan sebesar-besar kurnia dan RahmatNya sebagai penutup segala perbuatan jahat yang lampau. Allah telah berfirman; ”Sesungguhnya segala amal yang baik menghapuskan akan segala perbuatan yang jahat. ”

"Siapalah aku di sisi MU ya Allah"

Tuesday 31 January 2012

Kepentingan Solat Berjamaah

UMUMNYA, umat Islam tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Cuma setakat mana keutamaan untuk melakukannya.

Pertembungan antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi membuatkan umat Islam pada akhir zaman ini semakin payah melaksanakan solat berjemaah sama ada di masjid mahupun surau di kejiranan tempat tinggal mereka.

Sedangkan kalau diteliti beberapa ayat-ayat al-Quran dan hadis, jelas dinyatakan tentang kelebihan atau ganjaran daripada solat berjemaah.

Antaranya, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): "Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat. (Riwayat Muslim)

Begitu juga yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah dua 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian (riwayat Muslim).

Manakala dalam surah al-Nisaa' ayat 102 yang menunjukkan bahawa semasa dalam medan perang sekalipun, kita diperintah oleh Allah SWT untuk bersolat secara berjemaah. Inikan pula jika di dalam keadaan aman, maka ia adalah lebih utama.

Hakikatnya, kalau disoroti sirah Rasulullah SAW, didapati bahawa baginda mendirikan solat secara berjemaah selepas berhijrah ke Madinah.

Selama 13 tahun baginda tinggal di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan secara aman kerana umat Islam pada ketika itu sentiasa diancam oleh pihak kafir Quraisy.

Maka pada masa itu solat hanya dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian. Bagaimanapun perpindahan atau penghijrahan ke Madinah membolehkan solat berjemaah dilakukan secara terang-terangan.

Menyedari hukum solat jemaah itu adalah fardu kifayah maka tidak kurang juga yang mengambil mudah mengenainya.

Ramai yang berfikir bahawa solat fardu berjemaah bersama keluarga adalah lebih baik. Sedangkan itu tidak ditunjukkan oleh Rasulullah. Jika ada pun, hanyalah dengan solat-solat sunat.

Solat fardu berjemaah adalah syiar Islam terbesar dan semulia-mulia ibadat. Namun yang mendukacitakan, ramai umat Islam memandang sepi, mengambil sikap acuh tidak acuh dan menganggapnya sebagai ibadah remeh-temeh.

Demi Masa Sesungguhnya Manusia Dalam Kerugian

SEJAUH manakah kita menghargai masa dalam kehidupan kita? Sekiranya kita ditanya dengan beberapa soalan seperti apakah kekayaan yang paling berharga dalam hidup? Wang ringgit? Hartanah? Anak-anak? Kecantikan? Kecerdasan? atau Kesihatan? Barangkali jawapannya adalah kesemuanya.

Yang pastinya, semua itu tidak setara dengan nilai waktu yang kita miliki. Kekayaan yang sebenar yang kita miliki setelah Islam ialah masa.

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri sedikitpun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian terhadap masa.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan ia disebut dalam banyak tempat, sekali gus menunjukkan kepentingan masa.

Antaranya surah al-Lalil ayat 1-2, surah ad-Dhuha juga ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan ayat pertama dalam surah al-Asr.

Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang hal berkaitan masa? Umat manusia yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran ayat 110.

Ayat di atas menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik. Namun pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya, khususnya masa.

Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan masa dalam kehidupan kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berkait dengan masa. Lebih-lebih lagi, yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek masa amat dititikberatkan.

Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tentang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya."

Begitu juga dengan ibadat puasa yang ditentukan dengan masa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah dan akhirinya dengan melihat anak bulan." Selain ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184.

Antara intipati ayat di atas ialah, tentang ingatan agar dapat memanfaatkan masa dalam bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya kerana kelebihan bulan Ramadan di samping waktu yang terhad. Dalam ibadat haji pula, pelaksanaannya juga tertakluk kepada faktor masa. Sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 197.

Begitu juga dengan ibadat zakat harta, faktor masa atau disebut haul merupakan salah satu syarat. Semuanya bertujuan satu bentuk penegasan kepada kepentingan masa. Oleh itu, marilah kita menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, apatah lagi atas perkara yang sia-sia.

Pernahkah kita terfikir bahawa aspek pengadilan atau penghakiman manusia pada hari akhirat juga ada kaitannya dengan masa. Firman Allah SWT kepada golongan orang-orang kafir dalam surah al-Fathir ayat 37.

Dalam ayat ini Allah telah menempelak orang-orang kafir yang tidak manfaatkan masa kurniaan Allah untuk berfikir tentang kebesaran-Nya serta menzalimi diri mereka dengan mensia-siakan umur.

Selanjutnya marilah kita merenung sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak, tidak ada seorang hamba pun dibenarkan meninggalkan tempatnya kecuali setelah ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umur masa mudanya, tentang kekayaannya dari mana diperoleh dan untuk apa digunakan, tentang ilmunya untuk apa dilakukan."

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memanfaatkan waktu walaupun orang Barat telah lama menghargai waktu dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Mulai hari ini kita perlu menghargai waktu dan tahu menilainya yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit: "Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat."

Justeru, masa adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk daripada rongga kita.

Jika sekiranya terdapat banyak kelapangan masa, kita perlu berwaspada kerana maksiat akan muncul apabila kita mempunyai masa lapang yang banyak. Lebih-lebih lagi, jika umur masih muda.

Sejarah telah mencatatkan peristiwa isteri seorang pegawai tinggi kerajaan Mesir telah menggoda Nabi Allah Yusuf dan salah satu sebab ialah kerana beliau mempunyai masa lapang yang banyak.

Orang yang mempunyai masa senggang yang banyak akan mendorong dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik melebih perlakuan orang muda.

Selain itu, kita lihat perlakuan anak-anak remaja pada hari ini. Ada kalanya seorang anak muda mempunyai kebebasan luar biasa yang diberikan oleh ibu bapa. Dibiarkan tidur hingga 12 jam, bangun hingga lewat tengah hari, terlepas semua kewajipan agama, pergaulan yang bebas, berhibur yang terlampau serta langsung tidak menghargai masa. Ini semua akan menjurus anak muda ke lembah maksiat.

Begitu juga berlaku di kalangan para pekerja yang berkhidmat di pejabat atau perusahaan. Ada kalanya mereka bekerja dalam erti kata yang sebenar hanyalah dalam tempoh yang sangat sedikit berbanding dengan waktu sebenar.

Banyak masa dihabiskan dengan berbual, membaca surat khabar, melayari Internet atau kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan tugasan hakiki.

Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Gaji yang diperoleh adalah haram kerana tidak menjalankan tugas dengan sepenuh amanah.

Persoalannya apakah ini yang dilakukan oleh umat Muhammad? Jika ini berlaku, seluruh umat akan menerima kesan yang buruk dan mendedahkan diri kepada pembalasan buruk pada hari kiamat.

Berapa banyak masa yang telah terbuang dengan sia-sia mungkin boleh dimanfaatkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa kita.

Jika tersedar setelah keduanya telah tiada tidak berguna lagi. Pernahkah kita mengenal pasti wanita-wanita memakai tudung atau menutup aurat mereka setelah lanjut usia?

Mengapa orang-orang yang mengetahui agama tidak membetulkan atau menyedarkan mereka? Mengapa masih memilih untuk tunggu dan lihat atau tidak ambil kisah? Kesempatan yang ada itu mungkin akan hilang.

Kita perlu menyedari bahawa bencana dan musibah yang menimpa pada hari ini adalah akibat daripada ketidaksedaran umat terhadap menghargai masa.

Ramai yang tidak menyedari bahawa mensia-siakan waktu adalah salah satu ciri kejahatan. Ini termasuklah golongan yang suka melepak, duduk berjam-jam di kedai kopi.

Sebagi seorang Islam kita perlu menyedari kesan daripada mensia-siakan masa. Apabila kita masih tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling, dibuai mimpi dan tidak ambil peduli terhadap jatuh bangun umat, maka bencana yang menimpa umat tidak akan berakhir, bahkan akan terus bertambah.

Kemungkinan satu hari nanti kita akan dikejutkan pula dengan musibah yang lebih besar. Ini menepati apa yang telah Allah tegaskan dalam surah ar-Ra'du ayat 11.

Selagi kita tidak menghargai masa, selagi setiap Muslim tidak menghayati agamanya, selagi anak watan tidak berusaha menghasilkan sesuatu hasil usaha mereka sendiri atau selagi mana anak-anak muda tidak mencari ilmu pengetahuan dan memanfaatkan untuk diri mereka dan masyarakat seluruhnya, selagi itulah keadaan amat sukar untuk berubah.