Sekuriti Makanan Dalam Islam
SALAH satu keperluan asas manusia
yang tidak boleh dipertikaikan lagi adalah makanan. Dalam Islam makanan bukan
sekadar berkisar kepada halal dan haram. Tetapi ia juga meliputi soal
perlindungan dan mengurus tadbir makanan dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Dalam Islam juga, perbahasan
mengenai makanan begitu meluas merangkumi soal sekuriti makanan atau jaminan
bekalan makanan, pemakanan seimbang dan juga soal keselamatan dan kebersihan.
Hanya barangkali isu-isu sebegini
kurang menjadi fokus masyarakat lantaran lebih tertumpu kepada isu halal dan
haram. Walau bagaimanapun, sekuriti makanan adalah aspek yang tidak boleh
dipandang ringan lebih-lebih lagi bagi masyarakat pengguna kerana kesannya
kepada kehidupan semasa amat signifikan.
Menurut Pertubuhan Makanan dan
Pertanian Sedunia (FAO), sekuriti makanan ditakrifkan sebagai akses bagi
penduduk terhadap makanan yang mencukupi untuk kehidupan sihat dan aktif.
Selain itu, makanan perlu selamat bagi memenuhi keperluan dan pemilihan makanan
manusia. Walau bagaimanapun, dalam Islam, elemen halal dan tayyib tidak boleh
dipinggirkan. Justeru, penekanan syariah terhadap unsur halal dan tayyib
makanan juga perlu diambil kira dalam definisi sekuriti makanan menerusi
konteks Islam.
Malahan aspek kuasa untuk
mendapatkan makanan daripada pendapatan yang diperoleh serta penglibatan
masyarakat dalam aktiviti sekuriti makanan seperti menyalurkan bantuan makanan
dan menjadi pengeluar makanan perlu dititikberatkan khususnya umat Islam.
Maka, ia adalah tanggungjawab
pemerintah sesebuah negara untuk memenuhi keperluan asas masyarakat khususnya
aspek makanan. Secara tuntasnya, menjadi amanah penting bagi pemimpin negara
untuk memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan menggubal dasar atau
polisi agar krisis ini dapat dielakkan.
Sejarah membuktikan bagaimana
kebijaksanaan Nabi Yusuf mentadbir urus bekalan makanan sebelum dan selama
tempoh musim kemelesetan yang melanda Mesir sedangkan seluruh negara yang
berdekatan dengannya mengalami krisis sekuriti makanan yang kritikal. Islam
sebenarnya menyediakan wahana yang jelas untuk menjamin sekuriti makanan
melalui mekanisme agihan yang unggul.
Konsep pelaksanaan dalam
merealisasikan mekanisme itu memerlukan kebijaksanaan pentadbir untuk
meningkatkan keberkesanannya. Ini kerana janji Allah kepada hamba-Nya amat benar,
bertepatan dengan firman-Nya dalam surah Quraisy ayat 4 yang bermaksud; “Yang
telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan
dari ketakutan.”
Kekurangan bekalan makanan boleh
menyebabkan krisis makanan. Kebanyakan negara termasuk negara Islam
berhadapan dengan isu getir ini. Ini kerana krisis itu akan dan telah
melibatkan makanan ruji populasi di dunia ini. Antara kesannya boleh menyebabkan
harga makanan naik.
Ketidakupayaan mendapatkan makanan
sama ada dalam jangka masa panjang atau sebaliknya berkait rapat dengan
pendapatan individu atau isi rumah. Ini bermakna kemiskinan menyebabkan
seseorang itu kurang upaya untuk membeli makanan seimbang dari segi zatnya,
kebersihan dan keselamatannya. Justeru, ia juga akan memberi kesan kepada
kualiti kehidupan masyarakat khususnya umat Islam.
Ketiadaan sekuriti makanan juga
boleh mengakibatkan kebuluran. Adakalanya ia disebabkan harga makanan tidak
stabil. Faktor tidak mampu membeli makanan akan menjejaskan pembangunan
ekonomi, sosial, dan politik negara.
Oleh itu, penting sekali perancangan
ke arah sekuriti makanan menjadi agenda utama negara. Peranan proaktif dalam
dimensi lebih luas perlu digembleng khususnya daripada pemerintah dan
pelbagai pihak termasuk pengguna dengan tidak meminggirkan nilai dan ajaran
Islam dalam sekuriti makanan.