Friday, 10 July 2009

Kerajaan perlu sedia kelengkapan pengajaran

KAMPAR: Keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 tidak wajar dipersoalkan kerana kerajaan mahu memastikan ia tidak dilaksanakan secara gopoh, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri mengakui ada pihak termasuk pejuang bahasa mahu jika boleh pemansuhan dasar itu dibuat esok, tetapi kerajaan memikirkan ia tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menggagalkan matlamatnya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata tempoh dua tahun sehingga 2012 diperlukan untuk membuat persiapan seperti menyediakan guru berkelayakan, makmal bahasa, alat bantuan mengajar dan sebagainya.

"Kita mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna, tidak perlu tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini... kita fahamlah pejuang bahasa ini kalau boleh esok nak mulakan.

"Kita mesti realistik sebab itu kita perlu tempoh masa yang sesuai, itupun ada orang kata awal sangat dan perlukan tempoh masa yang lebih sesuai lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pesta Mind Malaysia kelima di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Perak di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Majlis UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dan Presiden UTAR, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik.

Muhyiddin juga mengakui kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Tempoh dua tahun setengah ini memberikan kita masa cukup untuk memastikan kita ada kelengkapan, kita tidak mahu terjebak sama seperti ketika PPSMI diperkenalkan.

"Saya tahu ada sesetengah sekolah di kawasan bandar tidak menghadapi masalah melaksanakan PPSMI, tetapi kita bukan bercakap hanya untuk beberapa sekolah tetapi lebih 10,000 sekolah seluruh negara," katanya.
Beliau berkata, sebelum PPSMI diperkenalkan pada 2003, bahasa kebangsaan digunakan untuk semua bidang ilmu termasuk Matematik dan Sains.

Ketika diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk pada peringkat universiti, Muhyiddin berkata, perkara itu diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mengkaji memperkenalkan program literasi minda atau kemahiran berfikir di sekolah bagi menguatkan daya ingatan pelajar agar dapat menguasai ilmu dipelajari dengan lebih cekap dan cepat.

Katanya, sebagai permulaan kementerian akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Gerakan Literasi Mental Malaysia (MMLM) untuk memperkenalkannya di sekolah terpilih.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Gagasan '1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' boleh menjadi jenama hebat sekiranya seluruh lapisan masyarakat memahami konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, konsep itu membawa maksud dan komponen yang baik antaranya semangat perpaduan, kerjasama, saling bantu-membantu dan tidak ada perbezaan layanan dalam kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.

"Untuk memahami gagasan ini yang perlu diperjelaskan lagi kepada rakyat, ia akan mengambil masa. Pentadbiran Najib akan masuk 100 hari, ini idea baru dan ia mengambil masa untuk orang faham.

"Bukan (konsep) 1Malaysia saja tetapi konsep rakyat didahulukan jangan diputar-belitkan sehingga menimbulkan salah faham kerana ia satu pendekatan penting yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk," katanya.

Katanya, makna dan konsep 1Malaysia akan dijelaskan kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Selain itu, media massa berperanan penting untuk menjelaskan gagasan yang dibawa Najib kepada 27 juta penduduk di negara ini," katanya.

PPSMI: Bukan mansuh di sekolah sahaja tetapi juga universiti

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Selaras dengan Akta Pendidikan 1996, pemansuhan PPSMI tidak seharusnya terbatas di peringkat sekolah sahaja kerana Akta Pendidikan turut merangkum sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Bagi Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Prof. Dr. Awang Sariyan, kerajaan seharusnya bertegas dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama di peringkat Matrikulasi, Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi.
Jelasnya sewaktu dihubungi semalam, keputusan memansuhkan PPSMI itu bertepatan dengan hujah dan alasan perjuangan pejuang-pejuang bahasa selama ini.
Dengan keputusan ini juga katanya, diharapkan kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pada waktu akan datang dengan melaksanakan sesuatu dasar yang bertentangan dengan dasar negara serta tidak berdasarkan kajian mendalam lebih dahulu.
Beliau juga menegaskan, pemansuhan tersebut membuktikan PPSMI bukanlah kaedah yang betul dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris serta sains dan matematik di kalangan pelajar.

Jelas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia ini juga, pelaksanaan kembali bahasa Melayu dalam pengajaran matematik dan sains menunjukkan dasar negara dalam bidang pendidikan telah sebahagiannya dikembalikan menurut undang-undang negara, iaitu akta Parlimen tentang kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Sehubungan itu katanya, kerajaan seharusnya perlu itiqamah dan konsisten dalam mempertahankan dasar negara yang betul dan baik. - mks. _

Samad Said: Bahasa Inggeris dapat RM5 bilion, bahasa Melayu dapat berapa?

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.
"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.
Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.
Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.
"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.
Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik.

Friday, 26 June 2009

Tazkirah Kematian

Perbanyak amal untuk mudah hadapi maut, pastikan kehidupan lebih baik selepas itu

KEMATIAN adalah hal yang pasti dan semua manusia akan melaluinya apabila tiba masa. Mungkin kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan dan sudah tentu suasana hiba menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Mereka yang mati berdepan dengan alam barzakh dan bagi yang hidup, tidak terlintas di sanubari untuk menginsafi diri suatu ketika nanti beginilah keadaan nyawa berpisah daripada jasad.

Sepatutnya saat menziarah jenazah dan mengiringi ke perkuburan membuka ruang keinsafan yang menjurus kepada bermuhasabah demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan.

Itulah saat paling murni untuk membayangkan apakah persediaan kita menanti saat itu tiba.

Alangkah indahnya jika kematian itu membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah bahawa inilah hari hamba Allah tadi dan tidak tahu bila pula waktu yang dijanjikan untuk kita.

Saat itu sepatutnya meluaskan pandangan kita terhadap kehidupan yang dilalui apakah ia turut diperlengkapkan dengan perkara wajib dilaksanakan bagi memastikan perjumpaan dengan Allah yang menjadikan atau kehidupan dilalui sebelum ini tidak ada satu pun yang menjanjikan kebaikan untuk akhirat kerana jika itu keadaannya, tibalah masa memperbaiki kelemahan diri seterusnya merencana agenda serta tindakan supaya kita tidak datang ke alam satu lagi dengan tangan kosong.

Justeru, tanpa mengabaikan keperluan hidup di dunia ini, penekanan perlu diberikan kepada matlamat akhir iaitu mencapai kejayaan dan kebahagiaan di akhirat serta termasuk dalam golongan yang akan berbahagia dengan bekalan amalan dibawa.

Pintu taubat sentiasa terbuka dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Ambil tindakan awal dan mulakan dari sekarang untuk menghasilkan bekalan bagi kehidupan yang sejahtera di akhirat nanti.

Buangkan jauh hasutan yang melalaikan. Jangan fikir hanya kerana diri masih muda, tenaga masih kuat dan wajah belum berkedut, kita masih boleh melambatkan usaha menyediakan bekalan untuk akhirat.

Lihat di sekeliling kerana kita tidak perlu membuat statistik atau perangkaan umur kematian kerana setiap peringkat umur berdepan kematian, baik bayi dalam rahim yang baru dilahirkan, masih belum umur setahun, sudah remaja, dewasa serta yang semakin tua.

Semua tidak dapat lari kerana apabila tiba masanya, tiada siapa boleh menahan, melambatkan atau mempercepatkan. Itu sudah dijelaskan dan difahamkan, malah semua umat Islam yang beriman kepada Allah mengakui hakikatnya.

Oleh itu, beruntung mereka yang sentiasa mengingati kematian dan memastikan setiap saat kehidupan di bumi ini dilalui bagi memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat.

Keseimbangan memainkan peranan penting tetapi tidak dinafikan agak sukar untuk menyeimbangkan diri memenuhi tanggungjawab di dunia apa lagi akhirat yang menjadi hentian abadi makhluk yang diciptakan Allah ini.

Kata Imam al-Ghazali: "Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman sekali gus menguatkan rasa bertuhan dan dekat kepada Allah."

Kelebihan mengingati mati juga akan melembutkan hati serta jiwa yang keras. Percayalah hati kita menjadi lembut apabila sentiasa ingat Allah dan mati.

Dikisahkan, ibu saudara Nabi SAW dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu 'Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan: "Seorang perempuan bertemu Aisyah mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Aisyah berkata: Banyakkan mengingati mati, nanti akan lembut dan tenanglah hatimu itu.

"Perempuan itu mengamalkan pesanan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih."

Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Oleh itu, apabila menghadapi masalah yang menyusahkan hati, ingatlah mati semoga hati menjadi lembut dan bersedia meneruskan kehidupan mencari keredaan Allah.

Jangan jadikan kematian sesuatu yang menakutkan atau menggugat ketenangan jiwa sebaliknya, jadikan mati sebagai janji Allah dan kesenangan untuk mereka yang sentiasa melakukan persediaan menghadapi saat itu.

Jangan tanya bagaimana hendak menghadapi kematian sebaliknya sentiasa memperbanyakkan amalan yang akan memudahkan kita menghadapi saat itu selain memastikan satu kehidupan lebih baik selepas itu.

Sentiasalah mengingati mati dan melakukan persediaan menghadapinya kerana Rasulullah SAW menyatakan orang paling cerdik adalah yang paling banyak mengingati mati.

AMARAN H1N1


Sepertimana kita sedia maklum, bilangan kes yang telah disahkan positif jangkitan penyakit Influenza A (H1N1) telah meningkat di negara kita. Pada 22 Jun lalu sebanyak empat (4) kes pertama yang melibatkan murid sekolah telah di kesan di beberapa buah sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Dua buah sekolah iaitu SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SK Asunta 2, Petaling Jaya telah diarahkan tutup selama seminggu.
Manakala murid-murid di dua buah sekolah di negeri Selangor iaitu SMK Seksyen 9 dan SMK Damansara Utama di mana seorang daripada rakan di dalam kelas mereka telah disahkan dijangkiti Influenza A (H1N1), dan telah mendapat rawatan di hospital. Walaubagaimanapun kedua-dua buah sekolah ini tidak ditutup.
Kementerian Pelajaran Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk meyakinkan kepada semua ibubapa supaya tidak panik kerana langkah-langkah proaktif yang diambil ini adalah merupakan langkah berjaga-jaga. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sentiasa membantu dengan memberi khidmat kepakaran mereka dalam menangani kes ini di sekolah-sekolah.
Pada kesempatan ini sekali lagi saya ingin ingatkan kepada semua Guru Besar dan Pengetua sekolah supaya mengambil tindakan berikut dengan segera bagi memastikan Influenza A (H1N1) tidak menular di sekolah-sekolah: Sekolah diminta memantau setiap hari jika terdapat tanda-tanda penyakit seperti demam panas dan selsema pada diri pelajar dan warga sekolah hendaklah segera dirujuk kes kesihatan mereka ke hospital dengan segera ; Sekiranya pelajar/ warga sekolah disahkan telah dijangkiti penyakit Influenza A (H1N1) maka tindakan berikut hendaklah diambil:- merujuk kepada hospital terdekat untuk tindakan ‘kuarantin’;- hubungi keluarga pelajar/ warga sekolah berkenaan;- membantu pihak hospital untuk mengenalpasti orang-orang yang pernah berhubung dengan pesakit berkenaan.- Menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.
Bagi menangani isu ini semua sekolah hendaklah memastikan persekitaran sekolah sentiasa bersih, terutamanya tandas, bilik darjah, kantin, asrama dan sebagainya. Langkah sesetengah sekolah mengambil inisiatif menjalankan pemeriksaan suhu badan pelajar/warga sekolah adalah digalakkan. Adalah dimaklumkan bahawa semua aktiviti sekolah termasuk aktiviti kokurikulum hendaklah dijalankan seperti biasa.

Friday, 12 June 2009

Guru hanyut bersama bot 21 jam

KUALA TERENGGANU: Seorang guru tidak menyangka hobi memancing di lautan di waktu lapang menyebabkan beliau terpaksa bertarung dengan maut hampir 21 jam selepas bot yang dinaiki kehabisan minyak sebelum ia dilanda ribut dan dihanyutkan arus petang semalam.Abd Karim Salam, 51, guru Sekolah Kebangsaan Merang Setiu yang menaiki bot kecil dihanyutkan kira-kira 60 batu nautika dari Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit, sehingga ke perairan Pulau Kapas sebelum diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang juga merupakan rakan-rakannya.Katanya beliau pada mulanya keluar memancing bersama dua rakannya yang lain menaiki bot berasingan di persekitaran Pulau Yu pada 7.30 pagi, namun kira-kira jam 3 petang bot yang dinaikinya dilanda ribut dan kehabisan minyak."Saya hubungi rakan melalui telefon bimbit untuk meminta tolong. Rakan saya yang keluar bersama memancing ketika itu sudah selamat kembali ke Pengkalan Maras," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maras di sini ari ini.

Impian Muhammad Amar tunai umrah tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Muhammad Amar Zulkifli, pelajar perubatan Universiti Kaherah, Mesir, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kaherah duahari lalu, berhasrat untuk menunaikan umrah tahun ini.Bapanya, Zulkifli Ismail berkata, anaknya Muhammad Amar, 21, pelajar perubatan tahun tiga yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, terbabit dalam kemalangan bersama empat rakannya ketika pulang dari Ain Sokhna selepas Maghrib (waktu Mesir).Menurut Zulkifli, 47, seorang juruteknologi Makmal Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kepala Batas, Muhammad Amar yang juga dikenali sebagai Along dalam keluarga, memberitahunya bahawa beliau ingin menunaikan ibadat itu bersama rakan-rakannya selepas peperiksaan dan program universiti bulan ini.
Ketika dihubungi di Kepala Batas dari sini, beliau memberitahu Bernamabahawa kali terakhir Muhammad Amar menghubungi keluarganya adalah sehari sebelum kejadian ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur dan Allahyarham berbual-bual dengan ibunya, Siti Fatimah Ramli dan adik beradiknya yang lain."Saya terkilan tidak dapat berbual ketika kali terakhir arwah menghubungikami itu," kata Zulkifli.Menurut laman web Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang (Mesir), kenderaanyang dinaiki Muhammad Amar dan rakan-rakannya itu terbabas sewaktu cuba memotong sebuah lori mengakibatkan ia hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.Muhammad Amar meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan-rakannyacedera dan dihantar ke Hospital Kasr El Ainy untuk rawatan lanjut.Seorang daripada pelajar itu, Akram Abdul Kadir, dilaporkan dalam keadaankoma manakala seorang lagi Abdul Rahman Ramdzan dikatakan patah lengan kanan. Dua pelajar lagi, yang nama mereka belum diperoleh, cedera ringan dandibenarkan pulang tengah hari semalam.Jenazah Muhammad Amar dijangka tiba di KLIA malam esok. -Bernama