Saturday, 3 December 2011

Pembelajaran Konstruktivisme

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Teori Konstruktivisme menganggap bahawa ilmu pengetahuan tidak wujud di luar minda tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Teori ini adalah dibina berdasarkan gabungan hasil kajian ahli psikologi, ahli falsafah dan penyelidik pendidikan terhadap proses pembelajaran individu. Mengikut teori ini, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Di bawah proses pembelajaran, pelajar membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan dirinya secara aktif, menggunakan cara membanding maklumat baru dengan pengalaman yang sedia ada supaya menyelesaikan sebarang perselisihan yang timbul dengan tujuan mencapai kefahaman terhadap maklumat baru.

Dalam teori konstruktivisme, pelajar tidak lagi dianggap belajar daripada apa yang diberikan oleh pensyarah tetapi pelajar secara aktif membina realiti mereka sendiri dan pada masa yang sama mengubahsuai realiti tersebut (Dick 1997). Dick (1997) turut menyatakan bahawa konstruktivisme hanya mencadangkan kaedah dalam mana persekitaran pembelajaran boleh disusunatur dan diurus supaya dapat membekalkan pelajar dengan konteks terbaik untuk belajar. Golongan konstruktivis juga menyatakan bahawa ilmu adalah satu entiti yang dibina oleh setiap pelajar melalui proses pembelajaran (Briner 1999). Golongan konstruktivis juga percaya ilmu adalah sesuatu yang tidak boleh dipindahkan tetapi ianya dibina oleh setiap pelajar (Briner 1999). Di dalam konstruktivisme ilmu adalah sesuatu yang relatif dan berubah mengikut masa. Menurut prinsip konstruktivisme lagi proses pembelajaran bertindak sebagai fungsi penyesuaian. Pembelajaran bukan merupakan tempat simpanan maklumat tetapi ia adalah merupakan pengetahuan peribadi yang berguna.

Selain itu, teori ini menganggap individu melihat dirinya secara aktif dalam pembelajaran ilmu pengetahuan berlandaskan konstruktivisme, dan bukan menerimanya secara pasif. Proses ilmu konstruktivisme mengandungi ciri perkembangan serta evolusi jadi ianya bukan tetap tetapi sering berubah. Di bawah teori ini, ilmu pengetahuan tidak digunakan untuk menjelaskan kebenaran. Sebaliknya, ia digunakan sebagai rasionalisasi tindakan dan pengalaman yang dialami oleh seseorang individu. Oleh itu mengikut teori ini, di dalam sesuatu situasi yang sama, ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh setiap individu adalah tidak serupa.

Pembelajaran Konstektual

Kaedah Pembelajaran Kontekstual

APAKAH yang dimaksudkan dengan kontekstual dan apalah pula keistimewaan kaedah kontekstual?

Kontekstual jika diambil daripada ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian.

Secara umum, kontekstual membawa pengertian:

  1. Yang berkenaan, releven, ada hubungan atau kaitan langsung, mengikut konteks.
  2. Yang membawa maksud, makna dan kepentingan (meaningful).

Oleh itu, kaedah kontekstual iaitu kaedah yang dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.

Kebanyakan pelajar di sekolah tidak mampu membuat kaitan antara apa yang mereka pelajari dengan bagaimana pengetahuan itu dapat dimanfaatkan.

Ini berlaku oleh sebab cara mereka memproses maklumat dan perasaan motivasi untuk pelajar tidak tersentuh melalui kaedah pengajaran yang lazim digunakan (iaitu kaedah syarahan yang abstrak), namun mereka amat perlu memahami konsep itu untuk memudahkan mereka mengaitkannya dengan suasana dan juga dalam menempuh kehidupan masyarakat di mana tempat mereka menjalani kehidupan dan bekerja.

Secara lazimnya, pelajar dijangkakan mampu membuat kaitan ini dengan sendiri apabila berada di luar bilik darjah.

Pendekatan kontekstual menyedari hakikat bahawa pembelajaran ialah satu proses pelbagai bentuk yang kompleks yang menjangkau melepasi kaedah-kaedah jenis latih tubi dan rangsangan dan tindak balas.

Menurut teori pembelajaran kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila pelajar memproses maklumat atau ilmu pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga ia membawa maksud atau makna kepada mereka dalam kerangka rujukan mereka sendiri (dunia dalaman bagi memori, pengalaman dan tindak balas mereka sendiri).

pendekatan pembelajaran dan pengajaran seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud dalam konteks dengan cara semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa seseorang itu. Ini berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan kelihatan bermakna.

terbentuk daripada pemahaman ini, teori pembelajaran kontekstual tertumpu pada aspek pelbagai bagi mana-mana persekitaran pembelajaran, sama ada dalam bilik darjah, dalam makmal, dalam makmal komputer, tampat atau lokasi kerja, atau di ladang tanaman.

Ia menggalakkan pendidik memilih dan/atau membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan seberapa banyak bentuk pengalaman yang boleh termasuk aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan.

Dalam persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata.

Konsep dihayati melalui proses penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan.

Contohnya, pelajar yang mengikuti satu pelajaran Fizik berkenaan tajuk Pengkonduksian Terma mungkin mengukur bagaimana kualiti dan amaun bahan pendebat bangunan mempengaruhi jumlah tenaga yang diperlukan untuk menyejuk atau memanaskan bangunan itu.

Satu kelas Biologi atau Kimia mungkin sedang mempelajari konsep saintifik asas dengan mempelajari penyebaran AIDS atau cara bagaimana peladang menghadapi dan menyumbang kepada kemerosotan persekitaran.

Bagaimana ? proses pembelajaran konstektual dapat dilaksanakan di dalam pengajaran Perniagaan & Keusahawanan ???

Pengajaran-pembelajaran kontekstual merupakan satu konsepsi pengajaran dan pembelajaran yang membantu guru mengaitkan bahan subjek yang dipelajari dengan situasi dunia sebenar dan memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja.

Pembelajaran Melalui Lawatan & Kerja Luar

PENGENALAN

Program Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sejak tahun 2000 supaya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan lebih berbentuk kontekstual. Ini adalah selaras dengan saranan UNESCO supaya mengamalkan “Four Pillars of Education: Learning to Know, Learning to Do, Learning to Live Together dan Learning to Be”. Untuk memastikan PLBD dilaksanakan dengan lebih berkesan, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah mengeluarkan Garis Panduan PLBD (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005) bagi membantu guru menjalankan PLBD. Pengertian, objektif dan tiga model PLBD yang melibatkan kerja lapangan dan lawatan dijelaskan dalam dokumen ini. Berdasarkan garis panduan dalam dokumen tersebut, Buku Panduan PLBD Ekonomi Asas ini adalah bertujuan untuk membantu guru Ekonomi Asas melaksanakannya dalam matapelajaran Ekonomi Asas di sekolah.

PENGERTIAN PLBD

Garis Panduan PLBD (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005) memberi pengertian PLBD seperti berikut:

“Pembelajaran luar bilik darjah (PLBD) adalah suatu program atau aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti ini berpusatkan murid dan bertujuan untuk menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah. Ia juga merangkumi persekitaran pembelajaran yang progresif.”

OBJEKTIF PLBD

PLBD boleh digunakan untuk tujuan menyediakan murid untuk belajar sesuatu tajuk atau konsep yang akan dipelajari, mengukuhkan apa yang telah dipelajari, atau pun sebagai satu proses mempelajari sesuatu tajuk atau konsep. Objektif-objektif PLBD merangkumi tiga domain pembelajaran, iaitu domain pengetahuan, domain sikap dan domain kemahiran. Antaranya ialah:

· Mengukuhkan kefahaman murid terhadap konsep yang dipelajari dalam kelas;
· Memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang sebenar, bermakna dan menyenorokkan;
· Membolehkan murid berfikir dan menguasai ilmu pengetahuan melalui pengalaman kontekstual;
· Meningkatkan minat dan sikap murid untuk belajar;
· Mengembangkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan;
· Mengembangkan kemahiran mengumpul, memproses dan menganalisis data dan maklumat.
· Menerapkan nilai-nilai murni.

MODEL PLBD

Tiga model PLBD dicadangkan dalam dokumen Garis Panduan PLBD:

Model PLBD 1: Luar bilik darjah dalam kawasan sekolah.
Model PLBD 2: Berhampiran kawasan sekolah.
Model PLBD 3: Jauh dari kawasan sekolah (dengan kebenaran PPD)
(Lawatan terancang & berintergrasi ilmu)

PERANCANGAN PLBD

Sebelum PLBD
Semasa PLBD
Selepas PLBD

PERANCANGAN PLBD

Guru
Murid

Sebelum PLBD

Menetapkan tujuan & objektif PLBD (hasil pembelajaran tajuk / konsep dalam sukatan, sikap dan kemahiran)
Ulangkaji pengetahuan dan kemahiran sedia ada yang diperlukan untuk aktiviti PLBD
Memenuhi segala syarat dan kehendak rasmi seperti kebenaran bertulis daripada pihak sekolah, PPD dan ibu bapa
Memaklumkan kepada murid dan ibu bapa tentang tujuan dan program LPBD
Mendapatkan nombor telefon ibu bapa murid supaya senang dihubungi
Membuat tempahan tempat dan pengangkutan
Memastikan bas mempunysi insuran penumpang, permit perjalanan dan dua orang pemandu.
Memastikan insuran berkumpulan telah diambil untuk murid
Memastikan seorang guru pengiring ditugaskan untuk sekumpulan sepuluh orang murid
Membahagikan murid kepada lima orang dalam satu kumpulan dan melantik ketua bagi setiap kumpulan untuk menjaga kebajikan setiap ahli kumpulan di sepanjang lawatan
Melawat tempat PLBD dan merancang aktiviti
Memberi taklimat kepada murid tentang keselamatan, peraturan dan tanggung jawab masing-masing
Membahagikan tugas & tanggung jawab kepada murid
Menyediakan bahan-bahan yang diperlukan (termasuk alat-alat seperti kamera, perakam audio dll)
Mengetahui dan menyedari tujuan dan objektif lawatan
Menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk aktiviti lawatan
Melatih teknik-teknik mengumpul maklumat
Mengetahui dan memahami tanggung jawab diri dan kumpulan
Memahami peraturan dan aturcara lawatan
Menyediakan bahan yang diperlukan untuk aktiviti lawatan
Memahami keperluan-keperluan keselamatan

Semasa PLBD

Menyelia dan mengawal murid supaya keselamatan murid sentiasa terjaga
Memberi bantuan bila diperlukan
Mengalakkan murid menanya soalan untuk mendapat maklumat
Membuat pemerhatian secara langsung
Mengumpul dan merekod maklumat
Mematuhi peraturan-peraturan lawatan
Berkerjasama dalam kumpulan

Selepas PLBD

Memberi maklumat tambahan jika diperlukan oleh murid
Membimbing murid membuat rumusan
Menilai pembelajaran murid dan keberkesanan aktiviti PLBD (termasuk pengurusan & pengelolaan aktiviti).
Menyusun maklumat yang dikumpul
Menjawab soalan-soalan tugasan dan membuat rumusan
Menyemak dapatan dan rumusan dengan murid atau kumpulan lain
Menyediakan laporan
Menghantar / membentang hasil / laporan
Membincang isu-isu yang mengelirukan (jika ada)

Wednesday, 30 November 2011

Mencari Cinta Hakiki

Tuhanku, !!!

Aku masih ingat, saat pertama dulu aku belajar mencintaiMu…

Lembar demi lembar kitab kupelajari…

Untai demi untai kata para ustaz kuresapi…

Tentang cinta para nabi.

Tentang kasih para sahabat.

Tentang mahabbah para sufi.

Tentang kerinduan para syuhada.

Lalu kutanam di jiwa dalam-dalam.

Kutumbuhkan dalam mimpi-mimpi dan idealisme yang mengawang di awan…

Tapi Ya Rabbi,

Berbilang detik, minit, jam, hari,bulan dan kemudian tahun berlalu…

Aku berusaha mencintaiMu dengan cinta yang paling utama, tapi…

Aku masih juga tak menemukan cinta tertinggi untukMu…

Aku makin merasakan gelisahku membadai…

Dalam cita yang mengawang.

Sedang kakiku mengambang, tiada menjejak bumi…

Hingga aku terhempas dalam jurang

Dan kegelapan…

Wahai Ilahi,

Kemudian berbilang detik, minit, jam, hari, bulan dan tahun berlalu…

Aku mencuba merangkak, menggapai permukaan bumi

dan menegakkan jiwaku kembali.

Menatap, memohon dan menghibaMu...

Allahu Rahiim, Ilaahi Rabbii,

Perkenankanlah aku mencintaiMu, Semampuku

Allahu Rahmaan, Ilaahi Rabii

Perkenankanlah aku mencintaiMu Sebolehku

Dengan segala kelemahanku.

Ya Ilaahi,

Aku tak sanggup mencintaiMu

Dengan kesabaran menanggung derita

Umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga Al Musthafa.

Kerana itu izinkan aku mencintaiMu

Melalui keluh kesah pengaduanku padaMu

Atas derita batin dan jasadku

Atas sakit dan ketakutanku.

Ya Rabbii,

Aku tak sanggup mencintaiMu seperti Abu Bakar,

yang menyedekahkan seluruh hartanya dan hanya meninggalkan Engkau dan RasulMu bagi diri dan keluarga.

Atau layaknya Umar yang menyerahkan separuh harta demi jihad.

Atau Uthman yang menyerahkan 1000 ekor kuda untuk syiarkan dinMu.

Izinkan aku mencintaiMu, melalui seringgit-dua yang terulur

pada tangan-tangan kecil di perempatan jalan,

pada wanita-wanita tua yang menadahkan tangan di tepi jambatan.

Pada makanan–makanan sederhana yang terkirim ke handai taulan.

Ya Ilaahi,

Aku tak sanggup mencintaiMu

Dengan khusyuknya solat salah seorang shahabat NabiMu hingga tiada terasa anak panah musuh menujah di kakinya.

Kerana itu Ya Allah,

perkenankanlah aku tertatih menggapai cintaMu,

dalam solat yang cuba kudirikan terbata-bata,

meski ingatan kadang melayang ke berbagai permasalahan dunia.

Ya Rabbii,

Aku tak dapat beribadah ala para sufi dan rahib,

yang membaktikan seluruh malamnya untuk bercinta denganMu.

Maka izinkanlah aku untuk mencintaimu dalam satu-dua rakaat lailku.

Dalam satu dua sunnah nafilahMu.

Dalam desah nafas kepasrahan tidurku.

Yaa Maha Rahmaan,

Aku tak sanggup mencintaiMu bagai para al hafidz dan hafidzah,

yang menuntaskan kalamMu dalam satu putaran malam.

Perkenankanlah aku mencintaiMu,

melalui selembar dua lembar tilawah harianku.

Lewat lantunan seayat dua ayat hafalanku.

Yaa Maha Rahiim,

Aku tak sanggup mencintaiMu semisal Sumayyah,

yang mempersembahkan jiwa demi tegaknya DinMu.

Seandai para syuhada, yang menjual dirinya dalam jihadnya bagiMu.

Maka perkenankanlah aku mencintaiMu dengan mempersembahkan sedikit bakti dan pengorbanan untuk dakwahMu.

Maka izinkanlah aku mencintaiMu dengan sedikit pengajaran bagi tumbuhnya generasi baru.

Allahu Kariim,

Aku tak sanggup mencintaiMu di atas segalanya,

bagai Ibrahim yang rela tinggalkan putra dan zaujahnya,

dan patuh mengorbankan pemuda biji matanya.

Maka izinkanlah aku mencintaiMu di dalam segalanya.

Izinkan aku mencintaiMu dengan mencintai keluargaku,

dengan mencintai sahabat-sahabatku,

dengan mencintai manusia dan alam semesta.

Allaahu Rahmaanurrahiim, Ilaahi Rabbii

Perkenankanlah aku mencintaiMu semampuku.

Agar cinta itu mengalun dalam jiwa.

Agar cinta ini mengalir di sepanjang nadiku.