Monday, 19 October 2009

Pendidikan iman mesti diterap sejak peringkat kanak-kanak lagi

Pendidikan iman mesti diterap sejak peringkat kanak-kanak lagi
SETIAP perbuatan mestilah disertai dengan iman. Iman menjadi pagar dalam kehidupan. Setiap perbuatan yang disertai dengan iman akan diberkati oleh Allah SWT. Penyatuan antara ilmu dan iman adalah penting begitu juga ilmu dan amal.

Pendidikan keimanan mestilah berpandukan al-Quran dan Sunnah. Al-Quran adalah kitab petunjuk yang sentiasa memberi pendidikan dan pengajaran bagi manusia agar dapat membentuk keimanan yang sempurna.

Proses pendidikan iman manusia haruslah diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi.
Pendidikan iman juga harus diterapkan sejak manusia mengenal perkara yang baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi. Pendidikan keimanan bertujuan mengajar manusia mengenal dan meyakini adanya perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman, hari akhirat dan qada dan qadar serta syariat Islam.

Tujuan pendidikan keimanan adalah untuk memberi keyakinan bahawa manusia perlukan pertolongan Allah SWT dalam segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Hanya Engkaulah (ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. Tunjukkanlah (hati) kami ke jalan lurus” (Al-Fatihah:5).

Selain itu, pendidikan iman juga untuk mengambil peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada azab neraka” (At-Tahrim: 6).
Pendidikan iman juga mendidik manusia supaya mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan keluarganya serta membiasakan diri dengan membaca al-Quran. Ia juga mendidik manusia meyakini mengenai kekuasaan dan segala ciptaan-Nya, menanam keyakinan bahawa setiap amalan manusia akan mendapat balasan sewajarnya dari Allah SWT.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud; “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana kamu berada” (Riwayat Ath Thabrani).

Tokoh Islam Abul Hasan an-Nadwi berkata, “Mereka yang tidak disertai iman adalah buta; hati yang tidak disertai iman adalah segumpal bangkai daging; manakala masyarakat yang tidak disertai iman adalah kumpulan binatang yang dihimpunkan.

Sementara itu, Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni berkata, nyanyian yang tidak disertai iman adalah kata-kata yang sia-sia; tulisan yang tidak disertai iman adalah kata-kata kosong; dan pidato yang tidak disertai iman adalah pekikan yang mendatangkan sebarang faedah.
Berkaitan dengan benteng iman Imam Muslim berwasiat yang bermaksud; “Iman mempunyai bentengnya seperti yakin, ikhlas, istiqamah, memperbanyak amalan sunat, khusyuk dan berakhlak mulia, Oleh itu, kuatkan benteng keimanan itu dengan meningkatkan kualiti ibadah”.

Sesungguhnya, melalui ibadah iaitu semakin banyak kita sembahyang kita akan dekat dan beriman kepada Allah SWT. Seperti janji kita dalam doa iftitah, “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Oleh itu, laksanakan apa yang kita ucapkan dari hati dengan penuh keimanan dalam kehidupan.

bagaimana kemarahan boleh menjadi satu perkara yang baik

5 kaedah bagaimana kemarahan boleh menjadi satu perkara yang baik

Pengalaman memarahi orang lain mungkin membuatkan ramai berpendapat rasa marah adalah satu perkara buruk. Menengking anak-anak semata-mata untuk mendapatkan kerjasama mereka tidak selalu meninggalkan rasa positif kepada diri ibu bapa.

Malah, menyaksikan pergaduhan anak ketika mereka melenting juga tidak mendatangkan sebarang perasaan yang menggembirakan.

Namun, mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kemarahan itu ada tujuannya dalam kehidupan kita. Ia datang dengan hikmah mengajar manusia seperkara dua tentang cara memperoleh hubungan yang lebih sihat dan bahagia.

Berikut adalah lima kaedah bagaimana kemarahan sebenarnya boleh menjadi satu perkara yang baik:

1. Kemarahan sebagai pelindung

Apabila anak berada dalam situasi merbahaya atau mencemaskan, minda anda secara automatik akan mencetuskan satu rangkaian reaksi yang boleh menaikkan kemarahan.

Maka, anda tidak mempunyai masa untuk berhenti dan memikirkan tindakan berikutnya. Kemarahan sebenarnya memintas fikiran bagi membolehkan manusia terus bertindak serta-merta. Ini sekali gus merupakan kaedah alam atau natural untuk melindungi keluarga daripada sebarang kecederaan.

2. Kemarahan sebagai petanda

Tujuan kemarahan itu wujud adalah untuk menghapuskan masalah-masalah dalam kehidupan, bukannya perhubungan. Apabila sesuatu memerlukan perubahan dramatik, kemarahan tidak hanya memberitahu anda apa yang perlu diketahui, malah, ia memberi anda kuasa untuk melakukan sesuatu.

Misalnya, apabila doktor anak tidak mendengar keluhan anda, maka, menjadi marah mungkin boleh 'merancakkan' suasana dan mencari punca masalah agar ia boleh diselesaikan.

3. Kemarahan mengawal

Anak anda membiarkan semua barangan permainannya berselerak di serata rumah lagi! Terlalu penat untuk menengking perlakuan anak itu untuk mendapatkan kerjasamanya, kemarahan mungkin membantu. Perasaan marah boleh memberitahu bahawa anda mempunyai harapan terlalu tinggi atau peraturan yang ditetapkan tidak cukup jelas.

Gunakan tenaga daripada kemarahan anda untuk berkomunikasi tentang peraturan tersebut. Disusuli dengan disiplin yang konsisten serta berpatutan, seiring dengan usia anak.

4. Kemarahan sebagai suara

Apa yang kita katakan kepada diri biasanya akan menjejaskan tahap emosi. Jika kita memberitahu diri sebagai ibu bapa yang teruk, maka, teruklah jadinya. Sebaliknya, jika kita berkata kepada diri agar melakukan yang terbaik dalam apa juga situasi, maka, kita akan bertindak tanpa rasa terlalu tertekan.

Belajarlah mendengar 'suara kecil' dan cuba mencabar sebahagian persepsi salah yang telah anda terapkan untuk diri dan si anak. Mintalah pandangan jujur daripada rakan-rakan. Jika apa yang anda katakan tentang diri itu benar, maka, gunakan maklumat ini untuk membuat perubahan dalam hubungan anda dan anak.

5. Kemarahan sebagai pengajaran

Gaya pengurusan kemarahan biasanya diwarisi daripada ibu bapa. Andainya ibu anda merupakan seorang yang suka menengking atau menjerit, maka besar kemungkinan, anda akan mengikut jejaknya. Biarpun setelah anda bersumpah tidak akan bersikap sepertinya.

Buangkan idea bahawa kemarahan itu satu perasaan yang buruk. Kemarahan ialah satu proses natural dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, pastikan anda faham emosi ini boleh dikawal. Buktinya, menerusi sedikit latihan.

Berikan diri anda masa untuk mencari kaedah berdepan dengan cabaran mendidik anak, sama ada melalui bacaan buku ataupun menghadiri kelas mengurus kemarahan.