Pendidikan iman mesti diterap sejak peringkat kanak-kanak lagi
SETIAP perbuatan mestilah disertai dengan iman. Iman menjadi pagar dalam kehidupan. Setiap perbuatan yang disertai dengan iman akan diberkati oleh Allah SWT. Penyatuan antara ilmu dan iman adalah penting begitu juga ilmu dan amal.
Pendidikan keimanan mestilah berpandukan al-Quran dan Sunnah. Al-Quran adalah kitab petunjuk yang sentiasa memberi pendidikan dan pengajaran bagi manusia agar dapat membentuk keimanan yang sempurna.
Proses pendidikan iman manusia haruslah diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi.
Pendidikan iman juga harus diterapkan sejak manusia mengenal perkara yang baik dan buruk iaitu pada peringkat kanak-kanak lagi. Pendidikan keimanan bertujuan mengajar manusia mengenal dan meyakini adanya perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman, hari akhirat dan qada dan qadar serta syariat Islam.
Tujuan pendidikan keimanan adalah untuk memberi keyakinan bahawa manusia perlukan pertolongan Allah SWT dalam segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Hanya Engkaulah (ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami minta pertolongan. Tunjukkanlah (hati) kami ke jalan lurus” (Al-Fatihah:5).
Selain itu, pendidikan iman juga untuk mengambil peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada azab neraka” (At-Tahrim: 6).
Pendidikan iman juga mendidik manusia supaya mencintai Allah SWT, Rasulullah SAW dan keluarganya serta membiasakan diri dengan membaca al-Quran. Ia juga mendidik manusia meyakini mengenai kekuasaan dan segala ciptaan-Nya, menanam keyakinan bahawa setiap amalan manusia akan mendapat balasan sewajarnya dari Allah SWT.
Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud; “Iman yang paling afdal ialah apabila kamu mengetahui bahawa Allah selalu menyertaimu di mana kamu berada” (Riwayat Ath Thabrani).
Tokoh Islam Abul Hasan an-Nadwi berkata, “Mereka yang tidak disertai iman adalah buta; hati yang tidak disertai iman adalah segumpal bangkai daging; manakala masyarakat yang tidak disertai iman adalah kumpulan binatang yang dihimpunkan.
Sementara itu, Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni berkata, nyanyian yang tidak disertai iman adalah kata-kata yang sia-sia; tulisan yang tidak disertai iman adalah kata-kata kosong; dan pidato yang tidak disertai iman adalah pekikan yang mendatangkan sebarang faedah.
Berkaitan dengan benteng iman Imam Muslim berwasiat yang bermaksud; “Iman mempunyai bentengnya seperti yakin, ikhlas, istiqamah, memperbanyak amalan sunat, khusyuk dan berakhlak mulia, Oleh itu, kuatkan benteng keimanan itu dengan meningkatkan kualiti ibadah”.
Sesungguhnya, melalui ibadah iaitu semakin banyak kita sembahyang kita akan dekat dan beriman kepada Allah SWT. Seperti janji kita dalam doa iftitah, “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Oleh itu, laksanakan apa yang kita ucapkan dari hati dengan penuh keimanan dalam kehidupan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment