Perkembangan politik sesebuah negara tidak mungkin terlepas daripada sejarah yang pernah terlukis di bumi tersebut. Sejarah merupakan pustaka rujukan, gedung kajian bagi memperoleh panduan dan pedoman dalam mendepani cabaran masa mendatang. Sejarah yang tidak dirujuk dan dibiarkan terus tenggelam dalam dimensi masa boleh mengundang musibah. Sesebuah negara itu mungkin kembali menghadapi masalah yang sama seperti apa yang pernah dihadapi oleh rakyatnya yang terdahulu. Lebih malang lagi sekiranya masalah itulah yang dahulunya pernah membawa titik noktah kepada kegemilangan tamadun bangsa tersebut. Begitu juga dengan Malaysia, negara kita. Sekiranya sejarah penjajahan selama 446 tahun itu tidak cukup untuk membangunkan bangsa ini daripada lena yang panjang, mungkin kesedihan penduduk Melaka saat jatuh ke tangan Portugis pada 1511 melarat hingga ke beberapa generasi lagi.
Sulalat al-Salatin(Perteturun Segala Raja-Raja) atau Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang membentangkan sejarah masyarakat Melayu era Kesultanan Melayu Melaka. Seawal penemuan Melaka oleh Parameswara hingga ke saat kepincangan pemerintahan Sultan Mahmud Syah, sultan terakhir negeri Melaka. Gaya penyampaiannya yang lebih berbentuk naratif membolehkan aspek nilai dan budaya masyarakat zaman itu diamati. Teks rujukan asal dalam tulisan jawi telah dikaji dan dialih aksara di bawah kerjasama Yayasan Karyawan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beberapa insiden boleh diketengahkan untuk membahaskan isu pengaruh nilai dahulu terhadap politik kontemporari ini. Saya akan cuba membawa timbang tara dalam beberapa pecahan tajuk kecil untuk membolehkan kita menilai pernyataan seperti yang tertera pada tajuk kuiz ini. Pembaca juga perlu maklum yang saya mendefinisikan politik semasa sebagai Malaysia era pasca merdeka.
Pada pandangan saya, beberapa permasalahan timbul apabila kita cuba mengaitkan nilai-nilai yang pernah diamalkan sepanjang zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan perkembangan politik kontemporari. Nilai yang wujud dalam budaya, politik dan ekonomi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka wujud atas beberapa faktor yang tidak lagi ada pada Malaysia di era sesudah merdeka. Contohnya kedudukan Melaka sebagai salah sebuah pusat peradaban (centre of civilization) di Nusantara, status bahasa Melayu sebagai Lingua Franca, keterbatasan perhubungan oleh faktor geografi dan masa, serta nilai Islam dalam politik. Malaysia berdiri di atas runtuhan kota Melaka dengan sejarah hitam penjajahan selama beberapa kurun yang telah meninggalkan impak signifikan terhadap perubahan nilai dan paradigma masyarakatnya. Perkembangan politik hari ini adalah hasil respons terhadap cabaran Malaysia sebagai negara multi-bangsa yang sedang membangun di bawah bayang-bayang Barat dan pelbagai ancaman seperti neokolonialisme (globalisasi, hedonisme dll.) serta asimilasi budaya.
Melaka Dipandang, Malaysia Memandang
Semua sedia maklum tentang kedudukan Melaka yang strategik telah mengangkatnya menjadi pusat peradaban terkenal di seluruh Nusantara hatta dunia pada ketika itu. Kedudukan istimewa dan struktur pentadbiran empayar kesultanannya telah menjadikan Melaka dipandang tinggi oleh lain-lain negara yang singgah berdagang. Kedudukannya di atas hierarki peradaban tamadun ini menjadikan Melaka lebih selamat daripada ancaman pengaruh asing. Nilai budaya, politik, ekonomi dan sosial adalah nilai Melayu Islam Melaka. Banyak yang belajar daripada Melaka akan gaya pengurusan dan pentadbiran jajahannya yang meski luas namun teratur dan stabil. Mengagumi dan mencontohi yang lebih maju dan berjaya adalah fitrah manusia. Sebaliknya, Malaysia pasca era kolonialisme banyak terkesan dengan Barat. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan juga terkesan dengan Barat. Suruhanjaya Perlembagaan Reid yang diketuai oleh Lord Reid mengambil modul dan model yang ada di Barat lalu disesuaikan dengan realiti tempatan. Great Britain antara negara demokrasi yang diambil menjadi contoh pembentukan Malaysia. Melaka dahulu banyak dipandang, Malaysia banyak memandang. Standard pembangunan dan kemajuan yang dikejar oleh Malaysia juga banyak ditetapkan oleh badan-badan dunia yang kebanyakannya berpusat di Barat. Baik kelayakan untuk bergelar negara maju mahupun kualiti dalam sistem perkhidmatan. Bukanlah saya ini seorang yang anti-Barat. Tetapi ingin saya memperlihatkan betapa kiblat dunia sudah beralih arah sebanyak 180 darjah! Dahulu Melaka di timur jadi pujaan, kini negara-negara di Barat dijadikan kayu ukuran. Masakan nilai-nilai budaya, politik, ekonomi dan sosial dahulu dapat banyak mempengaruhi kancah politik negara semasa? Budaya Melaka dahulunya banyak dieksport, budaya Malaysia kini banyak diimport.
Malaysia cuba bangkit dan membangunkan negara dengan adunannya sendiri(sungguhpun acuannya ada pengaruh luar). Tetapi keterikatan Malaysia dengan dunia luar tidak boleh tidak telah memberi kesan kepada perangkaan polisi dan perjalanan sistem pentadbiran dalam negara. Sebagai contoh, kita boleh membanding bezakan sistem ekonomi zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Malaysia pasca merdeka. Perubahan ketara kepada struktur sistem ekonomi dunia dapat dilihat dengan pertukaran sistem mata wang. Daripada perdagangan yang menggunakan sistem barter, Melaka melangkah ke hadapan apabila memperkenalkan syiling emas bermula di era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain sistem mata wang turut diguna pakai seperti jongkong timah, manik, dan cangkerang cowrie untuk melancarkan urusan perniagaan. Perdagangan juga dibatasi oleh faktor geografi. Pedagang hanya dapat menggunakan laluan darat, seperti ‘denai penarikan’, dan laluan air seperti sungai dan laut untuk tujuan perniagaan. Masa yang diambil untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain juga amat panjang. Keadaan ini punya perbezaan yang sangat signifikan dengan sistem ekonomi kontemporari yang telah punya penyelarasan sistem mata wang kertas, transaksi ekonomi daripada pelbagai sumber; darat, laut, udara mahupun ruang maya(internet) dengan kepantasan berhubung yang disingkatkan masanya hingga kurang daripada 10-9 saat! Batasan geografi dan masa bukan lagi penghalang. Kerajaan dahulu cukup dengan hanya menugaskan Syahbandar untuk menguruskan hal-hal berkaitan urusan ekonomi, tidak lagi mungkin bagi zaman ini. Beberapa kementerian berportfolio besar seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Asas Tani dan Perniagaan, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan serta Kementerian Perdagangan dan Perindustrian punyai perkaitan secara langsung dan tidak langsung dalam urusan ekonomi negara. Nilai-nilai bekerja seperti budaya 5S dari Jepun contohnya juga adalah adaptasi masyarakat kini dengan bebanan urusan yang makin bertambah dan lebih besar cabarannya. Pasaran dunia yang banyak bergantung pada mata wang dolar Amerika Syarikat juga memberikan implikasi besar terhadap polisi ekonomi negara. Krisis mata wang pada 1997 cukup menjadi bukti bahawa tanpa analisa yang mendalam dan tepat, Malaysia mungkin dihantui belenggu hutang dan bebanan defisit yang melampaui keupayaan negara untuk menanggungnya. Dengan perubahan yang begitu drastik dan ketara daripada pelbagai aspek, perkembangan politik Malaysia pasca merdeka dalam melakar polisi ekonomi negara tidak boleh rigid dan pasif. Semua polisi kini adalah respons kepada cabaran yang tidak wujud di era Kesultanan Melayu Melaka. Namun, jika kita mengambil sudut pandang berbeza, pengaruh itu tetap ada. Melaka punya sistem ekonomi dan matawangnya sendiri. Sistem itu tetap ada hari ini, cuma kandungannya sudah berubah.
Status bahasa dunia atau Lingua Franca yang kini dimiliki oleh Bahasa Inggeris juga merupakan cabaran yang tidak wujud di masa dahulu. Bahasa jiwa bangsa. Maka, dengan keberadaan status ini pada bahasa Inggeris(bahasa Inggeris adalah bahasa utama dunia hari ini) yang juga bahasa milik Barat, budaya dan nilai-nilai Barat turut diimport masuk ke dalam negara secara tidak langsung. Melaka dahulu gah dengan kegemilangan bahasa Melayu. Maka aspek nilai dan budaya masih kuat terikat dengan nilai dan budaya Melayu-Muslim. Dek kerana bahasa Inggeris sudah mengambil alih kedudukan bahasa Melayu, ikatan itu menjadi semakin longgar. Lingua Franca hari ini tidak hanya menguasai bahasa hubungan diplomatik, perdagangan atau urusan-urusan rasmi di peringkat antarabangsa sahaja, ia juga digunakan dalam media massa, baik elektronik mahupun yang bercetak. Lambakan bahan bacaan, filem dan muzik dalam Bahasa Inggeris contohnya telah banyak memberi kesan dan perubahan kepada pola pemikiran dan aksi masyarakat Malaysia pasca merdeka. Hinggakan isu bahasa dalam dasar pendidikan negara masih menjadi perdebatan hingga ke saat ini. Persoalan tentang nilai dan kedudukan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat juga menimbulkan banyak tanda tanya. Keadaan ini tidak pernah dialami oleh kerajaan Melaka suatu ketika dahulu tetapi dihadapi oleh kerajaan negara hari ini. Namun, respons terhadap isu ini merupakan respons terhadap cabaran semasa yang banyak dipengaruhi nilai masa lampau. Nilai untuk mempertahankan keagungan nilai, budaya dan bahasa Melayu bagi sesetengah pihak yang dapat melihat dan menjangkakan implikasi penggunaan bahasa asing dalam pengajaran subjek-subjek teras. Tidak dinafikan, sungguhpun ada golongan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu, golongan ini seakan terpencil dan kecil bilangannya. Persepsi masyarakat sudah berubah. Bahasa Inggeris menjadi prasyarat kemasukan ke kebanyakan pusat pengajian tinggi dan punyai nilai kompetitif yang tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa. Tidak pula sebanding dengan bahasa Melayu. Walaupun kedudukannya tinggi dalam perlembagaan, sebagai bahasa Kebangsaan, dan diangkat menjadi bahasa rasmi dalam setiap agensi kerajaan, realiti penggunaannya masih terbatas. Keindahan bahasa Melayu juga semakin pudar kerana rata-rata masyarakat hari ini selesa menggunakan bahasa rojak apabila berbicara. Bagaimana mahu generasi mendatang mempelajari nilai dan budaya yang diwarisi sedari zaman gemilang kesultanan Melayu Melaka? Apatah lagi pula mahu membawa pengaruhnya kepada perkembangan politik semasa?
Sultan Adil Sultan Dipatuhi, Sultan Zalim Sultan Diadili
Tanggungjawab institusi Raja-Raja Melayu yang dahulunya mentadbir negara kini dipegang oleh kuasa legislatif kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Nilai ketaatan kepada sultan yang tidak berbelah bagi pernah dianuti dan dipuji oleh masyarakat Melayu dahulu hingga wujud sultan yang megah dengan konsep daulat dan tulah. Sewenang-wenangnya melakukan apa yang disukai nafsu serakah. Dalam buku Sejarah Melayu, cerita tentang Tun Fatimah yang kehilangan ayahnya kerana dibunuh sultan (sungguhpun tanpa kesalahan) cukup untuk kita renungkan. Sudahlah begitu, diri Tun Fatimah pula terpaksa menerima sultan si pembunuh sebagai suami (lantaran sultan yang tertarik kepada kecantikannya). Apa yang lebih menyedihkan tiada yang bangkit memperjuangkan keadilan, menegakkan kebenaran pada ketika itu. Sultanlah pemerintah, sultanlah undang-undang, sultanlah kebenaran. Isu ini dibangkitkan hanya setelah lama sultan Melaka kehilangan takhta. Setelah dunia berubah memandang kekuasaan semata-mata bukanlah kekuatan, harta dan kedudukan. Minda sekarang ini menjadi aset utama. Isu tentang kekebalan institusi beraja daripada undang-undang pernah seketika mengheret Tun Dr. Mahathir keluar daripada parti UMNO. Namun nilai sudah berubah. Sejarah panjang telah melahirkan manusia yang mahukan keadilan sejagat. Salah perlu dinafikan. Benar perlu dipertahankan. Kesannya, hari ini sukar untuk kita dapati golongan yang boleh bertindak sesuka hati. Biarlah namanya sultan atau perdana menteri, jika berada di tempat yang salah, kebenaran akan datang mengadili. Begitulah adanya secara teori. Praktikalnya?
Tidak dinafikan terdapat juga coretan cerita tentang pemimpin yang adil di sepanjang rentetan sejarah Melaka. Pemimpin dan pegawai yang saksama ditaati dan disanjungi. Namun nilai ini nilai manusiawi. Tidak bermakna disebabkan oleh wujudnya golongan terdahulu yang menghormati pemerintah adil maka apa yang berlaku pada hari ini adalah pengaruh daripada peristiwa tersebut. Hal ini tidak berkait secara langsung kepada perkembangan politik semasa. Mana-mana manusia normal daripada mana-mana bangsa di mana-mana penjuru dunia sekalipun akan punya perasaan yang sama. Menghormati yang adil dan saksama. Kecuali bagi mereka yang egois sentiasa, gila kuasa serta tamak haloba!
Kontrak Sosial
Ada pula yang cuba mengaitkan insiden kontrak sosial tidak rasmi yang terikat antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana dengan kontrak sosial yang termeterai antara kaum di Malaysia. Kontrak sosial antara kaum adalah jauh lebih rumit untuk diisi, dijaga dan dipatuhi berbanding kontrak atau lebih berupa perjanjian antara menantu dan bapa mertua yang sebangsa dan seagama. Seawal termeterainya kontrak ini di awal pembinaan negara, hal ini dipandang relevan kerana masyarakat bukan-bumiputera masih baru di tanah ini. Namun setelah masa selama 50 tahun berlalu, generasi terkemudian, masyarakat yang lahir daripada benih penduduk bukan-bumiputera tadi sudah merasakan bahawa mereka juga rakyat Malaysia yang perlu mendapat kesaksamaan hak dalam menongkah arus kehidupan di bumi tercinta ini. Isu ini sememangnya antara isu yang boleh membawa negara ke arah kemusnahan sekiranya tidak difahami secara teliti terutamanya oleh generasi muda dewasa ini. Hal ini jauh berbeza dengan kontrak yang tidak punya hitam putih di antara Demang Lebar Daun dan bakal menantunya Seri Teri Buana. Kontrak tidak formal dan juga tidak meninggalkan rujukan untuk generasi hadapan. Namun, niat untuk menjaga keamanan mungkin boleh dilihat sebagai perkaitan antara kedua kontrak lama dan baru ini.
Nilai yang diamalkan dalam urusan pentadbiran negara zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Malaysia juga berbeza kesan daripada kewujudan kontrak sosial antara kaum ini. Selain daripada kedudukan sultan yang berlainan dalam hierarki pemerintahan, konsep perkongsian kuasa juga baru diimplementasikan. Menteri-menteri kabinet terdiri daripada pelbagai bangsa dan hal ini memerlukan nilai toleransi yang tinggi antara semua pihak agar kerjasama terbaik dapat menghasilkan kerja terbaik dalam urus-tadbir negara. Kementerian-kementerian yang wujud mengikut keperluan semasa juga membezakan antara dahulu dengan sekarang. Nilai masyarakat yang telah berubah, seperti status kaum wanita membawa kepada kewujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Komuniti dan Keluarga. Semua ini adalah perkembangan politik semasa dalam mendepani cabaran semasa.
Nilai Islam dalam Politik
Nilai Islam dalam politik juga berbeza antara kedua-dua zaman yang diperbandingkan. Undang-Undang Laut & Undang-Undang Melaka yang pernah diguna pakai oleh kerajaan Melaka berdiri atas peruntukan undang-undang Islam; hukum had, qisas, dan takzir. Contohnya dalam fasal 48 dan 30 kedua-dua undang-undang ini ada menyebut tentang hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah zina seperti yang digariskan dalam peruntukan hukum had Islam. Fasal 5 Undang-Undang Melaka mengambil hukum qisas; kesalahan bunuh dibalas bunuh dan hukum takzir pula terdapat pada fasal 5 Undang-Undang Laut dengan peruntukan takzir kepada orang yang terlibat dengan hutang. Pengamalan hukum Islam ini menyeluruh. Namun, Malaysia tidak lagi menggunakan undang-undang berdasarkan peruntukan hukum-hakam Islam sepenuhnya. Malaysia sebaliknya punya peruntukan 2 undang-undang berasingan; sivil dan syariah. Banyak kes jenayah diadili dengan hukuman sivil. Hukum syariah hanya terbatas dalam hal-hal perkahwinan dan perceraian. Perbandingan ini jelas memperlihatkan akan perbezaan yang wujud dalam pengamalan Islam dalam politik dahulu dan sekarang.
Melaka untuk Melaka, Malaysia untuk Malaysia
Secara ringkasnya, perbincangan ini telah menunjukkan bahawa nilai dalam budaya, ekonomi, politik mahupun sosial dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka mempunyai pengaruh terhadap perkembangan politik kontemporari tetapi tidak secara langsung. Nilai-nilai dalam masyarakat berubah dengan berubahnya beberapa faktor yang disebutkan sepanjang perbincangan ini. Nilai yang diamalkan Malaysia adalah respons pemerintah kepada stimulus semasa. Nilai yang terbentuk di kalangan masyarakat hari ini banyak terkesan dengan penjajahan yang begitu lama. Hasilnya, ada nilai-nilai yang pernah hidup dalam masyarakat dahulu kini telah berkubur tanpa nisan.
No comments:
Post a Comment