Tuesday, 31 January 2012

Kepentingan Solat Berjamaah

UMUMNYA, umat Islam tidak menolak kepentingan solat berjemaah. Cuma setakat mana keutamaan untuk melakukannya.

Pertembungan antara tuntutan duniawi dengan ukhrawi membuatkan umat Islam pada akhir zaman ini semakin payah melaksanakan solat berjemaah sama ada di masjid mahupun surau di kejiranan tempat tinggal mereka.

Sedangkan kalau diteliti beberapa ayat-ayat al-Quran dan hadis, jelas dinyatakan tentang kelebihan atau ganjaran daripada solat berjemaah.

Antaranya, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): "Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat. (Riwayat Muslim)

Begitu juga yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya solat berjemaah dua 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian (riwayat Muslim).

Manakala dalam surah al-Nisaa' ayat 102 yang menunjukkan bahawa semasa dalam medan perang sekalipun, kita diperintah oleh Allah SWT untuk bersolat secara berjemaah. Inikan pula jika di dalam keadaan aman, maka ia adalah lebih utama.

Hakikatnya, kalau disoroti sirah Rasulullah SAW, didapati bahawa baginda mendirikan solat secara berjemaah selepas berhijrah ke Madinah.

Selama 13 tahun baginda tinggal di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan secara aman kerana umat Islam pada ketika itu sentiasa diancam oleh pihak kafir Quraisy.

Maka pada masa itu solat hanya dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian. Bagaimanapun perpindahan atau penghijrahan ke Madinah membolehkan solat berjemaah dilakukan secara terang-terangan.

Menyedari hukum solat jemaah itu adalah fardu kifayah maka tidak kurang juga yang mengambil mudah mengenainya.

Ramai yang berfikir bahawa solat fardu berjemaah bersama keluarga adalah lebih baik. Sedangkan itu tidak ditunjukkan oleh Rasulullah. Jika ada pun, hanyalah dengan solat-solat sunat.

Solat fardu berjemaah adalah syiar Islam terbesar dan semulia-mulia ibadat. Namun yang mendukacitakan, ramai umat Islam memandang sepi, mengambil sikap acuh tidak acuh dan menganggapnya sebagai ibadah remeh-temeh.

Demi Masa Sesungguhnya Manusia Dalam Kerugian

SEJAUH manakah kita menghargai masa dalam kehidupan kita? Sekiranya kita ditanya dengan beberapa soalan seperti apakah kekayaan yang paling berharga dalam hidup? Wang ringgit? Hartanah? Anak-anak? Kecantikan? Kecerdasan? atau Kesihatan? Barangkali jawapannya adalah kesemuanya.

Yang pastinya, semua itu tidak setara dengan nilai waktu yang kita miliki. Kekayaan yang sebenar yang kita miliki setelah Islam ialah masa.

Dapatkah kita memahami mengapa waktu ini begitu penting? Mungkin persoalan ini tidak mempengaruhi diri sedikitpun kerana kita telah terbiasa dalam kehidupan seharian dengan ketidakpedulian terhadap masa.

Dalam al-Quran Allah SWT banyak bersumpah dengan waktu dan ia disebut dalam banyak tempat, sekali gus menunjukkan kepentingan masa.

Antaranya surah al-Lalil ayat 1-2, surah ad-Dhuha juga ayat 1-2. Surah al-Fajr juga ayat satu 1-2 dan ayat pertama dalam surah al-Asr.

Apakah sebabnya Allah menyuruh manusia memikir dan merenung tentang hal berkaitan masa? Umat manusia yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, sebagaimana disebut dalam surah Ali Imran ayat 110.

Ayat di atas menyebut bahawa manusia adalah umat yang terbaik. Namun pada prinsipnya ia akan menjadi umat yang terbaik apabila mampu memanfaatkan seluruh kurnia Allah dan tidak menyalahgunakannya, khususnya masa.

Sebagai manusia yang terbaik adakah kita telah dapat merasakan kepentingan masa dalam kehidupan kita ini?

Sesungguhnya seluruh kehidupan dan amal umat Islam sentiasa berkait dengan masa. Lebih-lebih lagi, yang berkait rapat dengan ibadat. Dalam ibadat solat umpamanya, aspek masa amat dititikberatkan.

Ketika di tanya oleh para sahabat kepada Rasulullah tentang apakah amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT? Baginda menjawab: "Solat tepat pada waktunya."

Begitu juga dengan ibadat puasa yang ditentukan dengan masa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berpuasalah dan akhirinya dengan melihat anak bulan." Selain ditegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 184.

Antara intipati ayat di atas ialah, tentang ingatan agar dapat memanfaatkan masa dalam bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya kerana kelebihan bulan Ramadan di samping waktu yang terhad. Dalam ibadat haji pula, pelaksanaannya juga tertakluk kepada faktor masa. Sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 197.

Begitu juga dengan ibadat zakat harta, faktor masa atau disebut haul merupakan salah satu syarat. Semuanya bertujuan satu bentuk penegasan kepada kepentingan masa. Oleh itu, marilah kita menggunakan ia dengan sebaik-baiknya, apatah lagi atas perkara yang sia-sia.

Pernahkah kita terfikir bahawa aspek pengadilan atau penghakiman manusia pada hari akhirat juga ada kaitannya dengan masa. Firman Allah SWT kepada golongan orang-orang kafir dalam surah al-Fathir ayat 37.

Dalam ayat ini Allah telah menempelak orang-orang kafir yang tidak manfaatkan masa kurniaan Allah untuk berfikir tentang kebesaran-Nya serta menzalimi diri mereka dengan mensia-siakan umur.

Selanjutnya marilah kita merenung sebuah hadis Nabi yang bermaksud: "Pada hari kiamat kelak, tidak ada seorang hamba pun dibenarkan meninggalkan tempatnya kecuali setelah ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umur masa mudanya, tentang kekayaannya dari mana diperoleh dan untuk apa digunakan, tentang ilmunya untuk apa dilakukan."

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memanfaatkan waktu walaupun orang Barat telah lama menghargai waktu dan memanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Mulai hari ini kita perlu menghargai waktu dan tahu menilainya yang mana kaca dan yang mana permata.

Seorang tabiin besar, Hassan al-Basri pernah mengungkapkan kata-kata berikut setiap kali matahari terbit: "Wahai manusia, aku adalah hari kamu yang baharu yang akan menjadi saksi di atas segala amal perbuatan kamu. Pergunakanlah dengan baik dan jadikanlah aku bekalmu. Sebab bila aku telah pergi, aku tidak akan kembali hingga hari kiamat."

Justeru, masa adalah kehidupan kita dan kehidupan itu adalah nafas yang keluar dan masuk daripada rongga kita.

Jika sekiranya terdapat banyak kelapangan masa, kita perlu berwaspada kerana maksiat akan muncul apabila kita mempunyai masa lapang yang banyak. Lebih-lebih lagi, jika umur masih muda.

Sejarah telah mencatatkan peristiwa isteri seorang pegawai tinggi kerajaan Mesir telah menggoda Nabi Allah Yusuf dan salah satu sebab ialah kerana beliau mempunyai masa lapang yang banyak.

Orang yang mempunyai masa senggang yang banyak akan mendorong dirinya untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik melebih perlakuan orang muda.

Selain itu, kita lihat perlakuan anak-anak remaja pada hari ini. Ada kalanya seorang anak muda mempunyai kebebasan luar biasa yang diberikan oleh ibu bapa. Dibiarkan tidur hingga 12 jam, bangun hingga lewat tengah hari, terlepas semua kewajipan agama, pergaulan yang bebas, berhibur yang terlampau serta langsung tidak menghargai masa. Ini semua akan menjurus anak muda ke lembah maksiat.

Begitu juga berlaku di kalangan para pekerja yang berkhidmat di pejabat atau perusahaan. Ada kalanya mereka bekerja dalam erti kata yang sebenar hanyalah dalam tempoh yang sangat sedikit berbanding dengan waktu sebenar.

Banyak masa dihabiskan dengan berbual, membaca surat khabar, melayari Internet atau kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan tugasan hakiki.

Ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan agama. Gaji yang diperoleh adalah haram kerana tidak menjalankan tugas dengan sepenuh amanah.

Persoalannya apakah ini yang dilakukan oleh umat Muhammad? Jika ini berlaku, seluruh umat akan menerima kesan yang buruk dan mendedahkan diri kepada pembalasan buruk pada hari kiamat.

Berapa banyak masa yang telah terbuang dengan sia-sia mungkin boleh dimanfaatkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa kita.

Jika tersedar setelah keduanya telah tiada tidak berguna lagi. Pernahkah kita mengenal pasti wanita-wanita memakai tudung atau menutup aurat mereka setelah lanjut usia?

Mengapa orang-orang yang mengetahui agama tidak membetulkan atau menyedarkan mereka? Mengapa masih memilih untuk tunggu dan lihat atau tidak ambil kisah? Kesempatan yang ada itu mungkin akan hilang.

Kita perlu menyedari bahawa bencana dan musibah yang menimpa pada hari ini adalah akibat daripada ketidaksedaran umat terhadap menghargai masa.

Ramai yang tidak menyedari bahawa mensia-siakan waktu adalah salah satu ciri kejahatan. Ini termasuklah golongan yang suka melepak, duduk berjam-jam di kedai kopi.

Sebagi seorang Islam kita perlu menyedari kesan daripada mensia-siakan masa. Apabila kita masih tidak kisah apa yang berlaku di sekeliling, dibuai mimpi dan tidak ambil peduli terhadap jatuh bangun umat, maka bencana yang menimpa umat tidak akan berakhir, bahkan akan terus bertambah.

Kemungkinan satu hari nanti kita akan dikejutkan pula dengan musibah yang lebih besar. Ini menepati apa yang telah Allah tegaskan dalam surah ar-Ra'du ayat 11.

Selagi kita tidak menghargai masa, selagi setiap Muslim tidak menghayati agamanya, selagi anak watan tidak berusaha menghasilkan sesuatu hasil usaha mereka sendiri atau selagi mana anak-anak muda tidak mencari ilmu pengetahuan dan memanfaatkan untuk diri mereka dan masyarakat seluruhnya, selagi itulah keadaan amat sukar untuk berubah.

Tuesday, 27 December 2011

Azam baik tidak perlu tunggu tahun baru untuk diterap

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.

Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.

Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. - Surah an-Nisa, Ayat 60)

Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.
Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

Sunday, 18 December 2011

Masyarakat Majmuk di Malaysia

Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.

J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.

Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.

Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.

Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).

Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.

Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.

Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.

Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).

Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).

Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.

Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

KESAN /CABARAN BUDAYA TERHADAP PEMBENTUKAN ETNIK

1. Perbezaan & pertentangan kepentingan di antara etnik.
i. Cabaran dalam aspek sosial:
a. Pemisahan penempatan: bukan shj boleh merenggangkan hbgn & interaksi pelbagai etnik tetapi memperkuatkan lagi perasaan kekitaan & etnosentrisme dlm kalangan anggota yg seterusnya menimbulkan prasangka, streotaip & mengekalkan kejahilan di klgn etnik trhadp etnik yg lain.
b. Pengasingan sistem pendidikan : interaksi hanya berkisar dlm kalangan etnik yg sama.

ii. Cabaran dlm aspek ekonomi
a. Perbezaan pekerjaan.
b. Dominasi sektor ekonomi : wujudnya jurang pendapatan antara etnik merupakan cabaran yg sering membawa kpd ketidakstabilan masyarakat majmuk.
iii. Cabaran dari aspek politik.
– Politik perkauman : menjadi lebih parah apabila isu-isu perkauman diperalatkan utk kepentingan sesuatu pihak dan mendapat sokongan rakyat.

2. Perbezaan & pertentangan nilai di antara etnik.
- Perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap kaum terus mengutamakan kaum sendiri dlm memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan dlm urusan seharian sehingga mewujudkan polarisasi antara etnik.

3. Cabaran globalisasi.
- Proses globalisasi atau pembaratan corak hidup berasaskan gagasan ekonomi & politik Barat sejagat.

- Oleh sebab penjajahan tidak lagi diterima dlm rangka nilai & kebebasan manusia masa kini, maka kuasa Barat memperjuangkan pula hak asasi manusia.
- Pengaruh Barat dari segi ideologi, budaya hedonisme & nilai negatif, ekonomi bebas, sains & teknologi yg memusnahkan, serta sistem politik yg dianggap terbaik bagi semua manusia dieksport / dibawa masuk ke seluruh dunia.
- Malaysia tidak terkecuali drp pengaruh arus pembaratan dan globalisasi yg mendesak. Globalisasi menjadi faktor perubah budaya yg amat kuat & deras, mengakibatkan lenyapnya nilai2 luhur secara tidak disedari dan pemikiran Barat diterima secara halus ke dalam masyarakat.

Ketiga-tiga cabaran tsb jika tidak dibendung & dikawal akan menjurus kpd pembentukan semangat perkauman yg mendalam, menimbulkan prasangka & mengukuhkan lagi fahaman etnosentrisme yg akan meninggalkan kesan kpd hbgn etnik, integrasi & mudah terjadinya konflik yg mengundang rusuhan kaum. Situasi ini ditambah lagi dgn beberapa persepsi yg kurang tepat tetapi menjadi pegangan dan terus dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia.
Sejarah hbgn etnik di Malaysia membuktikan bhw hbgn etnik mengalami turun naik mengikut kategori baik, sederhana,dingin dan baik.

Pengaruh Nilai & Budaya Zaman Kesultanan Melayu Melaka Terhadap Perkembangan Politik Kontemporari

Perkembangan politik sesebuah negara tidak mungkin terlepas daripada sejarah yang pernah terlukis di bumi tersebut. Sejarah merupakan pustaka rujukan, gedung kajian bagi memperoleh panduan dan pedoman dalam mendepani cabaran masa mendatang. Sejarah yang tidak dirujuk dan dibiarkan terus tenggelam dalam dimensi masa boleh mengundang musibah. Sesebuah negara itu mungkin kembali menghadapi masalah yang sama seperti apa yang pernah dihadapi oleh rakyatnya yang terdahulu. Lebih malang lagi sekiranya masalah itulah yang dahulunya pernah membawa titik noktah kepada kegemilangan tamadun bangsa tersebut. Begitu juga dengan Malaysia, negara kita. Sekiranya sejarah penjajahan selama 446 tahun itu tidak cukup untuk membangunkan bangsa ini daripada lena yang panjang, mungkin kesedihan penduduk Melaka saat jatuh ke tangan Portugis pada 1511 melarat hingga ke beberapa generasi lagi.

Sulalat al-Salatin(Perteturun Segala Raja-Raja) atau Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang membentangkan sejarah masyarakat Melayu era Kesultanan Melayu Melaka. Seawal penemuan Melaka oleh Parameswara hingga ke saat kepincangan pemerintahan Sultan Mahmud Syah, sultan terakhir negeri Melaka. Gaya penyampaiannya yang lebih berbentuk naratif membolehkan aspek nilai dan budaya masyarakat zaman itu diamati. Teks rujukan asal dalam tulisan jawi telah dikaji dan dialih aksara di bawah kerjasama Yayasan Karyawan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beberapa insiden boleh diketengahkan untuk membahaskan isu pengaruh nilai dahulu terhadap politik kontemporari ini. Saya akan cuba membawa timbang tara dalam beberapa pecahan tajuk kecil untuk membolehkan kita menilai pernyataan seperti yang tertera pada tajuk kuiz ini. Pembaca juga perlu maklum yang saya mendefinisikan politik semasa sebagai Malaysia era pasca merdeka.

Pada pandangan saya, beberapa permasalahan timbul apabila kita cuba mengaitkan nilai-nilai yang pernah diamalkan sepanjang zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan perkembangan politik kontemporari. Nilai yang wujud dalam budaya, politik dan ekonomi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka wujud atas beberapa faktor yang tidak lagi ada pada Malaysia di era sesudah merdeka. Contohnya kedudukan Melaka sebagai salah sebuah pusat peradaban (centre of civilization) di Nusantara, status bahasa Melayu sebagai Lingua Franca, keterbatasan perhubungan oleh faktor geografi dan masa, serta nilai Islam dalam politik. Malaysia berdiri di atas runtuhan kota Melaka dengan sejarah hitam penjajahan selama beberapa kurun yang telah meninggalkan impak signifikan terhadap perubahan nilai dan paradigma masyarakatnya. Perkembangan politik hari ini adalah hasil respons terhadap cabaran Malaysia sebagai negara multi-bangsa yang sedang membangun di bawah bayang-bayang Barat dan pelbagai ancaman seperti neokolonialisme (globalisasi, hedonisme dll.) serta asimilasi budaya.

Melaka Dipandang, Malaysia Memandang


Semua sedia maklum tentang kedudukan Melaka yang strategik telah mengangkatnya menjadi pusat peradaban terkenal di seluruh Nusantara hatta dunia pada ketika itu. Kedudukan istimewa dan struktur pentadbiran empayar kesultanannya telah menjadikan Melaka dipandang tinggi oleh lain-lain negara yang singgah berdagang. Kedudukannya di atas hierarki peradaban tamadun ini menjadikan Melaka lebih selamat daripada ancaman pengaruh asing. Nilai budaya, politik, ekonomi dan sosial adalah nilai Melayu Islam Melaka. Banyak yang belajar daripada Melaka akan gaya pengurusan dan pentadbiran jajahannya yang meski luas namun teratur dan stabil. Mengagumi dan mencontohi yang lebih maju dan berjaya adalah fitrah manusia. Sebaliknya, Malaysia pasca era kolonialisme banyak terkesan dengan Barat. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan juga terkesan dengan Barat. Suruhanjaya Perlembagaan Reid yang diketuai oleh Lord Reid mengambil modul dan model yang ada di Barat lalu disesuaikan dengan realiti tempatan. Great Britain antara negara demokrasi yang diambil menjadi contoh pembentukan Malaysia. Melaka dahulu banyak dipandang, Malaysia banyak memandang. Standard pembangunan dan kemajuan yang dikejar oleh Malaysia juga banyak ditetapkan oleh badan-badan dunia yang kebanyakannya berpusat di Barat. Baik kelayakan untuk bergelar negara maju mahupun kualiti dalam sistem perkhidmatan. Bukanlah saya ini seorang yang anti-Barat. Tetapi ingin saya memperlihatkan betapa kiblat dunia sudah beralih arah sebanyak 180 darjah! Dahulu Melaka di timur jadi pujaan, kini negara-negara di Barat dijadikan kayu ukuran. Masakan nilai-nilai budaya, politik, ekonomi dan sosial dahulu dapat banyak mempengaruhi kancah politik negara semasa? Budaya Melaka dahulunya banyak dieksport, budaya Malaysia kini banyak diimport.

Malaysia cuba bangkit dan membangunkan negara dengan adunannya sendiri(sungguhpun acuannya ada pengaruh luar). Tetapi keterikatan Malaysia dengan dunia luar tidak boleh tidak telah memberi kesan kepada perangkaan polisi dan perjalanan sistem pentadbiran dalam negara. Sebagai contoh, kita boleh membanding bezakan sistem ekonomi zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Malaysia pasca merdeka. Perubahan ketara kepada struktur sistem ekonomi dunia dapat dilihat dengan pertukaran sistem mata wang. Daripada perdagangan yang menggunakan sistem barter, Melaka melangkah ke hadapan apabila memperkenalkan syiling emas bermula di era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain sistem mata wang turut diguna pakai seperti jongkong timah, manik, dan cangkerang cowrie untuk melancarkan urusan perniagaan. Perdagangan juga dibatasi oleh faktor geografi. Pedagang hanya dapat menggunakan laluan darat, seperti ‘denai penarikan’, dan laluan air seperti sungai dan laut untuk tujuan perniagaan. Masa yang diambil untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain juga amat panjang. Keadaan ini punya perbezaan yang sangat signifikan dengan sistem ekonomi kontemporari yang telah punya penyelarasan sistem mata wang kertas, transaksi ekonomi daripada pelbagai sumber; darat, laut, udara mahupun ruang maya(internet) dengan kepantasan berhubung yang disingkatkan masanya hingga kurang daripada 10-9 saat! Batasan geografi dan masa bukan lagi penghalang. Kerajaan dahulu cukup dengan hanya menugaskan Syahbandar untuk menguruskan hal-hal berkaitan urusan ekonomi, tidak lagi mungkin bagi zaman ini. Beberapa kementerian berportfolio besar seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Asas Tani dan Perniagaan, Kementerian Kesenian, http://lensahati.files.wordpress.com/2008/11/111608-0101-pengaruhnil7.jpg?w=500Kebudayaan dan Pelancongan serta Kementerian Perdagangan dan Perindustrian punyai perkaitan secara langsung dan tidak langsung dalam urusan ekonomi negara. Nilai-nilai bekerja seperti budaya 5S dari Jepun contohnya juga adalah adaptasi masyarakat kini dengan bebanan urusan yang makin bertambah dan lebih besar cabarannya. Pasaran dunia yang banyak bergantung pada mata wang dolar Amerika Syarikat juga memberikan implikasi besar terhadap polisi ekonomi negara. Krisis mata wang pada 1997 cukup menjadi bukti bahawa tanpa analisa yang mendalam dan tepat, Malaysia mungkin dihantui belenggu hutang dan bebanan defisit yang melampaui keupayaan negara untuk menanggungnya. Dengan perubahan yang begitu drastik dan ketara daripada pelbagai aspek, perkembangan politik Malaysia pasca merdeka dalam melakar polisi ekonomi negara tidak boleh rigid dan pasif. Semua polisi kini adalah respons kepada cabaran yang tidak wujud di era Kesultanan Melayu Melaka. Namun, jika kita mengambil sudut pandang berbeza, pengaruh itu tetap ada. Melaka punya sistem ekonomi dan matawangnya sendiri. Sistem itu tetap ada hari ini, cuma kandungannya sudah berubah.

Status bahasa dunia atau Lingua Franca yang kini dimiliki oleh Bahasa Inggeris juga merupakan cabaran yang tidak wujud di masa dahulu. Bahasa jiwa bangsa. Maka, dengan keberadaan status ini pada bahasa Inggeris(bahasa Inggeris adalah bahasa utama dunia hari ini) yang juga bahasa milik Barat, budaya dan nilai-nilai Barat turut diimport masuk ke dalam negara secara tidak langsung. Melaka dahulu gah dengan kegemilangan bahasa Melayu. Maka aspek nilai dan budaya masih kuat terikat dengan nilai dan budaya Melayu-Muslim. Dek kerana bahasa Inggeris sudah mengambil alih kedudukan bahasa Melayu, ikatan itu menjadi semakin longgar. Lingua Franca hari ini tidak hanya menguasai bahasa hubungan diplomatik, perdagangan atau urusan-urusan rasmi di peringkat antarabangsa sahaja, ia juga digunakan dalam media massa, baik elektronik mahupun yang bercetak. Lambakan bahan bacaan, filem dan muzik dalam Bahasa Inggeris contohnya telah banyak memberi kesan dan perubahan kepada pola pemikiran dan aksi masyarakat Malaysia pasca merdeka. Hinggakan isu bahasa dalam dasar pendidikan negara masih menjadi perdebatan hingga ke saat ini. Persoalan tentang nilai dan kedudukan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat juga menimbulkan banyak tanda tanya. Keadaan ini tidak pernah dialami oleh kerajaan Melaka suatu ketika dahulu tetapi dihadapi oleh kerajaan negara hari ini. Namun, respons terhadap isu ini merupakan respons terhadap cabaran semasa yang banyak dipengaruhi nilai masa lampau. Nilai untuk mempertahankan keagungan nilai, budaya dan bahasa Melayu bagi sesetengah pihak yang dapat melihat dan menjangkakan implikasi penggunaan bahasa asing dalam pengajaran subjek-subjek teras. Tidak dinafikan, sungguhpun ada golongan yang cuba mempertahankan bahasa Melayu, golongan ini seakan terpencil dan kecil bilangannya. Persepsi masyarakat sudah berubah. Bahasa Inggeris menjadi prasyarat kemasukan ke kebanyakan pusat pengajian tinggi dan punyai nilai kompetitif yang tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa. Tidak pula sebanding dengan bahasa Melayu. Walaupun kedudukannya tinggi dalam perlembagaan, sebagai bahasa Kebangsaan, dan diangkat menjadi bahasa rasmi dalam setiap agensi kerajaan, realiti penggunaannya masih terbatas. Keindahan bahasa Melayu juga semakin pudar kerana rata-rata masyarakat hari ini selesa menggunakan bahasa rojak apabila berbicara. Bagaimana mahu generasi mendatang mempelajari nilai dan budaya yang diwarisi sedari zaman gemilang kesultanan Melayu Melaka? Apatah lagi pula mahu membawa pengaruhnya kepada perkembangan politik semasa?

Sultan Adil Sultan Dipatuhi, Sultan Zalim Sultan Diadili

Tanggungjawab institusi Raja-Raja Melayu yang dahulunya mentadbir negara kini dipegang oleh kuasa legislatif kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Nilai ketaatan kepada sultan yang tidak berbelah bagi pernah dianuti dan dipuji oleh masyarakat Melayu dahulu hingga wujud sultan yang megah dengan konsep daulat dan http://lensahati.files.wordpress.com/2008/11/111608-0101-pengaruhnil11.jpg?w=500tulah. Sewenang-wenangnya melakukan apa yang disukai nafsu serakah. Dalam buku Sejarah Melayu, cerita tentang Tun Fatimah yang kehilangan ayahnya kerana dibunuh sultan (sungguhpun tanpa kesalahan) cukup untuk kita renungkan. Sudahlah begitu, diri Tun Fatimah pula terpaksa menerima sultan si pembunuh sebagai suami (lantaran sultan yang tertarik kepada kecantikannya). Apa yang lebih menyedihkan tiada yang bangkit memperjuangkan keadilan, menegakkan kebenaran pada ketika itu. Sultanlah pemerintah, sultanlah undang-undang, sultanlah kebenaran. Isu ini dibangkitkan hanya setelah lama sultan Melaka kehilangan takhta. Setelah dunia berubah memandang kekuasaan semata-mata bukanlah kekuatan, harta dan kedudukan. Minda sekarang ini menjadi aset utama. Isu tentang kekebalan institusi beraja daripada undang-undang pernah seketika mengheret Tun Dr. Mahathir keluar daripada parti UMNO. Namun nilai sudah berubah. Sejarah panjang telah melahirkan manusia yang mahukan keadilan sejagat. Salah perlu dinafikan. Benar perlu dipertahankan. Kesannya, hari ini sukar untuk kita dapati golongan yang boleh bertindak sesuka hati. Biarlah namanya sultan atau perdana menteri, jika berada di tempat yang salah, kebenaran akan datang mengadili. Begitulah adanya secara teori. Praktikalnya?

http://lensahati.files.wordpress.com/2008/11/111608-0101-pengaruhnil14.jpg?w=500Tidak dinafikan terdapat juga coretan cerita tentang pemimpin yang adil di sepanjang rentetan sejarah Melaka. Pemimpin dan pegawai yang saksama ditaati dan disanjungi. Namun nilai ini nilai manusiawi. Tidak bermakna disebabkan oleh wujudnya golongan terdahulu yang menghormati pemerintah adil maka apa yang berlaku pada hari ini adalah pengaruh daripada peristiwa tersebut. Hal ini tidak berkait secara langsung kepada perkembangan politik semasa. Mana-mana manusia normal daripada mana-mana bangsa di mana-mana penjuru dunia sekalipun akan punya perasaan yang sama. Menghormati yang adil dan saksama. Kecuali bagi mereka yang egois sentiasa, gila kuasa serta tamak haloba!

Kontrak Sosial

http://lensahati.files.wordpress.com/2008/11/111608-0101-pengaruhnil16.gif?w=500Ada pula yang cuba mengaitkan insiden kontrak sosial tidak rasmi yang terikat antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana dengan kontrak sosial yang termeterai antara kaum di Malaysia. Kontrak sosial antara kaum adalah jauh lebih rumit untuk diisi, dijaga dan dipatuhi berbanding kontrak atau lebih berupa perjanjian antara menantu dan bapa mertua yang sebangsa dan seagama. Seawal termeterainya kontrak ini di awal pembinaan negara, hal ini dipandang relevan kerana masyarakat bukan-bumiputera masih baru di tanah ini. Namun setelah masa selama 50 tahun berlalu, generasi terkemudian, masyarakat yang lahir daripada benih penduduk bukan-bumiputera tadi sudah merasakan bahawa mereka juga rakyat Malaysia yang perlu mendapat kesaksamaan hak dalam menongkah arus kehidupan di bumi tercinta ini. Isu ini sememangnya antara isu yang boleh membawa negara ke arah kemusnahan sekiranya tidak difahami secara teliti terutamanya oleh generasi muda dewasa ini. Hal ini jauh berbeza dengan kontrak yang tidak punya hitam putih di antara Demang Lebar Daun dan bakal menantunya Seri Teri Buana. Kontrak tidak formal dan juga tidak meninggalkan rujukan untuk generasi hadapan. Namun, niat untuk menjaga keamanan mungkin boleh dilihat sebagai perkaitan antara kedua kontrak lama dan baru ini.

Nilai yang diamalkan dalam urusan pentadbiran negara zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Malaysia juga berbeza kesan daripada kewujudan kontrak sosial antara kaum ini. Selain daripada kedudukan sultan yang berlainan dalam hierarki pemerintahan, konsep perkongsian kuasa juga baru diimplementasikan. Menteri-menteri kabinet terdiri daripada pelbagai bangsa dan hal ini memerlukan nilai toleransi yang tinggi antara semua pihak agar kerjasama terbaik dapat menghasilkan kerja terbaik dalam urus-tadbir negara. Kementerian-kementerian yang wujud mengikut keperluan semasa juga membezakan antara dahulu dengan sekarang. Nilai masyarakat yang telah berubah, seperti status kaum wanita membawa kepada kewujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Komuniti dan Keluarga. Semua ini adalah perkembangan politik semasa dalam mendepani cabaran semasa.

Nilai Islam dalam Politik

http://lensahati.files.wordpress.com/2008/11/111608-0101-pengaruhnil20.jpg?w=500Nilai Islam dalam politik juga berbeza antara kedua-dua zaman yang diperbandingkan. Undang-Undang Laut & Undang-Undang Melaka yang pernah diguna pakai oleh kerajaan Melaka berdiri atas peruntukan undang-undang Islam; hukum had, qisas, dan takzir. Contohnya dalam fasal 48 dan 30 kedua-dua undang-undang ini ada menyebut tentang hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah zina seperti yang digariskan dalam peruntukan hukum had Islam. Fasal 5 Undang-Undang Melaka mengambil hukum qisas; kesalahan bunuh dibalas bunuh dan hukum takzir pula terdapat pada fasal 5 Undang-Undang Laut dengan peruntukan takzir kepada orang yang terlibat dengan hutang. Pengamalan hukum Islam ini menyeluruh. Namun, Malaysia tidak lagi menggunakan undang-undang berdasarkan peruntukan hukum-hakam Islam sepenuhnya. Malaysia sebaliknya punya peruntukan 2 undang-undang berasingan; sivil dan syariah. Banyak kes jenayah diadili dengan hukuman sivil. Hukum syariah hanya terbatas dalam hal-hal perkahwinan dan perceraian. Perbandingan ini jelas memperlihatkan akan perbezaan yang wujud dalam pengamalan Islam dalam politik dahulu dan sekarang.

Melaka untuk Melaka, Malaysia untuk Malaysia

Secara ringkasnya, perbincangan ini telah menunjukkan bahawa nilai dalam budaya, ekonomi, politik mahupun sosial dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka mempunyai pengaruh terhadap perkembangan politik kontemporari tetapi tidak secara langsung. Nilai-nilai dalam masyarakat berubah dengan berubahnya beberapa faktor yang disebutkan sepanjang perbincangan ini. Nilai yang diamalkan Malaysia adalah respons pemerintah kepada stimulus semasa. Nilai yang terbentuk di kalangan masyarakat hari ini banyak terkesan dengan penjajahan yang begitu lama. Hasilnya, ada nilai-nilai yang pernah hidup dalam masyarakat dahulu kini telah berkubur tanpa nisan.