Friday, 10 July 2009

Kereta guna NGV ibarat 'bom bergerak'

PETALING JAYA: Beribu-ribu kereta di jalan raya yang menggunakan gas asli (NGV) sebagai bahan api diibaratkan seperti 'peluru berpandu bergerak dengan bom' kerana tangki gas yang dipasang tidak menepati piawaian.

Setiausaha Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), S Piarapakaran mendakwa kebanyakan tong gas dipasang di bengkel haram dan mekanik yang tidak berkelayakan.

Katanya, penyelidikan Wecam menunjukkan pemilik kenderaan mengabaikan aspek keselamatan dengan menggunakan bahan dan hasil kerja tidak bermutu untuk jimatkan beberapa ringgit.
"Malah, tidak ada badan yang cekap di negara ini untuk mengawal dan memantau kenderaan NGV," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, oleh kerana gas adalah bahan mudah terbakar, pemasangan tangki gas tidak bermutu dan hos getah mudah bocor menyebabkan letupan ketika pelanggaran.

"Bayangkan kemusnahan alam sekitar dan kehilangan nyawa jika kenderaan itu melalui lebuh raya sibuk," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil langkah segera mengurangkan bahaya akibat pemasangan tangki gas yang tidak mengikut peraturan.

Beliau mencadangkan polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan khidmat bantuan Sirim dan badan berkelayakan untuk memantau kenderaan NGV.

Persatuan itu juga mencadangkan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala terhadap keselamatan NGV, menggunakan alat gantian tulen, mengurangkan kos pemasangan tangki gas oleh penjual dibenarkan dan mengadakan sistem pendaftaran bagi menentukan bilangan NGV.

Sementara itu, Persatuan NGV Malaysia (Mangva) memberi jaminan penggunaan tangki gas selamat dan tidak membahayakan.
Pengerusinya, M Suaparmanyam, berkata sejak berita mengenai kemalangan membabitkan kenderaan NGV itu dilaporkan, ramai pemandu kenderaan terbabit bimbang mengenai tahap keselamatan mereka.

"Sebenarnya, pengguna atau orang ramai tidak faham atau tidak memperoleh maklumat yang relevan mengenai sifat NGV. Gas ini tidak meletup atau menyebabkan kebakaran ke atas sesuatu benda.

"Musibah boleh berlaku apabila pengguna mengabai langkah pencegahan," katanya.

No comments:

Post a Comment