Thursday 13 August 2009

Apa itu H1N1?

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yg lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan berjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka Hayat Virus

Oleh kerana ia adalah virus yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja, jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yang baik....akan 'bersih' dari virus tersebut.

Apa yg perlu anda tahu ?

Asal virus ini

Sebenarnya telah terdapat outbrake di US sebelum terjadi outbrake di Mexico tetapi tidak dilaporkan kpd WHO. Kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'baling batu sembunyi tangan' lalu tercetus la outbrake di Mexico.

Virologi Virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari
ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit
pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat dan selewat2nya hari ke-4
H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Serangan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan
Virus ini akan menyerang sistem pernafasan ( seperti selsema burung dan SARS)
peringkat awal, ia hanya pada 'trakea' jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru2 dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse' ia amat merbahaya kpd golongan yg berisiko tinggi

Siapa Yang Berisiko

1.Orang yang ada masaalah 'obesiti' @ gemok
2. Perempuan yang mengandung
3 .Orang yang ada astmatic
4 . Orang2 yang bermasalah dengan sistem imunisasi ( menjalani 'operation yg besar', kanak2 yg belum cukup suntikan imunisasi, golongan2 yang rendah tahap imuniti eg. HIV ext.)
* Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan-golongan di atas

Simptom2

Day 1 - Rasa kurang sihat, tak bermaya
Day 2 - Selsema, batuk dan demam yang kekal ( demam tidak turun walaupun telah mkn ubat demam)
Day 3 - Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Day 4 - Sakit dada yang teruk....jumpa doktor dengan segera
Day 5 - And above lung collapse @ koma

Langkah-langkah Kawalan

1 – Golongan-golongan yang berisiko, elakkan daripada kesesakan ( kawasan yang padat dengan orang ramai)

2 - Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3 - Elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'

4 - Jika kurang sihat, elakkan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5 - Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang2nya 3 ply mask)

6 - Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.

7 - Jika ada tanda2 simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8 - Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.

9 - Tak perlu ambil anti-viral @ apa2 ubat influenza!! jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat2 untuk merawat jika terkena jangkitan. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yang telah mengambil ubat2 tersebut terlebih awal.

10 - Vaksin hanya akan 'wujud' seawal2nya pada Oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja dan untuk awam selewat2nya pada 2010.

11- Untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di Malaysia . Mengambil masa 6 jam untuk run test kepada 1 batch sample. Jika klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12 - Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbreak ini. Sama2lah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu.
Amin.

Ini adalah sumber dari taklimat H1N1 oleh Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit dari Kementerian Kesihatan Malaysia .

H1N1 Semakin Serius Awas .......!!!!!!

Sejak Selasa 11 Ogos 2009 hingga pagi Khamis 13 Ogos 2009 ada banyak tempat di Seremban tiada air kerana kerja pengalihan paip. Telah diberi pengumuman dalam Utusan minggu lepas , tapi ramai yang terlepas pandang. Sebab tajuk utama akhbar tak kiralah BN atau PR ialah isu politik. Akibatnya A H1N1 di Seremban mungkin akan bertambah buruk kerana masalah air, kecuaian pemimpin dan rakyat.

Kakak saya di Pahang dah panik. Orang dah berebut beli topeng muka. Tapi mahal sangat. Di sana dijual sekotak 50 keping RM 45 , saya boleh beli di Seremban RM 12 sekotak 50 keping. Saya beritahu kakak saya , buat sendiri topeng muka guna kain kapas , sekurang-kurangnya 3 lapis , boleh buat projek koperasi sekolah dia.

Orang awam dah mula marah-marah pada kakitangan hospital. Jangan salahkan kakitangan hospital , mereka dah tak menang tangan sekarang ini. Salah rakyat tak faham peraturan menangani wabak A H1N1. Salah media juga yang menjadikan Politik tajuk utama akhbar. Media BN dan Media PR.

Oleh itu mereka yang ada akses internet sebarkanlah maklumat yang berguna mengenai A H1N1. Jangan ada pihak yang mengaut keuntungan pula akibat penderitaan orang lain.

Banyak laman web menceritakan kaedah menangani wabak ini

Tuesday 11 August 2009

Amalkan sikap membelai pasangan

Amalkan sikap membelai pasangan


PERKAHWINAN adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa.
Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.
Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.
Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab, kewangan dan hubungan seksual juga mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga
"Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.
''Malah sikap terbuka dalam hubungan termasuk seks amat penting untuk mengekalkan hubungan."
Demikian menurut Perunding Psikologi dan Klinikal dan ahli fakulti Northwestern University Feinberg School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Huang Wei Jen semasa memberi ceramah mengenai keintiman dan kebahagiaan pasangan dalam melayari rumahtangga.
Katanya, masalah intim dapat dilihat menerusi pelbagai aspek. Ia mungkin di sebabkan oleh masalah psikologi, rohaniah dan kebatinan serta tindak balas fizikal yang membuatkan kita memerlukan hubungan intim dalam perhubungan.
Jelasnya, intim di sini bukan bermaksud melakukan hubungan seksual, tetapi cara berinteraksi dan tindak balas dalam sesebuah perhubungan.
''Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.
Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memainkan peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.
"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan," katanya.
Menurut Wei Jen, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang perlu bagi tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.
''Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan semata-mata tetapi suami harus memberi keutamaan dalam perkara yang lain dalam meneruskan bahtera tersebut.
Bercerita tentang tanggungjawab, suami sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga.
Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumahtangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumahtangga.
Katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang psikologi klinikal, dalam melayari sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan supaya sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami dan sentiasa berbincang antara satu sama lain.
Lebih menarik, dalam meneruskan hubungan, sikap membelai-belai antara satu sama lain perlu diamalkan dalam hubungan suami isteri.
Malah pasangan juga digalakkan untuk berterus terang mengenai semua perkara.
''Sememangnya kita tidak mahu badai besar merempuh rumah tangga kita, oleh itu hanya melalui sikap berterus terang dan bersemuka adalah cara yang paling tepat.
''Berterus teranglah dengan pasangan kita, malah jadikan pasangan kita sebagai kawan karib kita yang boleh berkongsi suka dan duka yang berlaku pada diri kita.
''Apa jua krisis yang dihadapi, harungilah sebagai satu unit dan bukan secara individu,'' katanya.
Malah akuinya lagi, buatlah keputusan bersama dalam meneruskan bahtera perkahwinan.
Tambah Wei Jen, prinsip ini pernah memberi impak yang tinggi dalam rumahtangganya sendiri.
Komitmen yang mempersetujui sesuatu keputusan akan memaksa pasangan untuk bercerita secara mendalam dengan pasangan.
Namun jelasnya, ketidakupayaan suami isteri berkomunikasi secara efektif adalah punca menyebabkan timbul pelbagai masalah seperti buruk sangka di antara satu sama lain.
''Oleh itu, kurangkan sikap sering bergaduh, saling tidak mempercayai dan salah sangka antara pasangan,'' ujarnya.
"Sebenarnya komunikasi antara suami isteri merupakan satu proses yang bermula dari dalam diri individu itu sendiri.
"Melalui komunikasi, suami isteri boleh menyampaikan segala maklumat terpendam, impian, hasrat dan harapan.
''Malah dengan cara ini, ia akan mengurangkan perasaan salah sangka dan dendam yang boleh menghancurkan hati.
''Komunikasi berkesan akan melahirkan rasa intim antara suami isteri dan perasaan ini boleh mencetuskan rasa bahagia,'' tambahnya.
Jelasnya, hanya melalui perkongsiaan bersama, ia mampu menyelesaikan permasalahan.
''Cuba amalkan sebelum tidur, bercerita dan berkongsi dengan pasangan mengenai kejadian yang berlaku pada diri anda hari ini.
''Pastinya ada komen dan juga pandangan antara satu sama lain, malah ia juga boleh menghangatkan lagi perhubungan tersebut,''

Tanggungjawab didik anak

Tanggungjawab didik anak

BAGAIKAN tidak lengkap setiap keluarga jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja merupakan permata keluarga, dan kepada anaklah bersandarnya harapan ibu bapa.
Seseorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya.
Apakah sebenarnya tanggungjawab ibu bapa? Adakah ibu bapa itu hanya sekadar "melahirkan anak", dan setelah anak itu dilahirkan maka selesailah tanggungjawab.
Berdasarkan tuntutan kehidupan, bagi meneruskan kelangsungan hidup, anak-anak perlu dididik oleh ibu bapa. Setelah sampai ke satu peringkat, anak-anak akan diajar dengan pelbagai amalan bagi melengkapkan keperluan spiritual, fizikal dan fitrahnya.
Anak-anak yang diibaratkan sebagai harta perlu dijaga sebaik mungkin. Jika dijaga dan dipelihara dengan baik, harta itu akan menjadi "hiasan hidup" yang berharga, jika salah didikan akan pula menjadi "musuh orang tuanya".
Hakikatnya kebanyakan ibu bapa mengharapkan kesihatan yang baik untuk anak-anak, namun seakan lupa bahawa selain faktor keturunan, pendidikanlah yang akan menentukan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
Faktor keturunan juga penting, kerana itu, Rasullullah SAW sering mengingatkan bahawa seorang lelaki mestilah hati-hati dalam menentukan perempuan untuk dijadikan suri teladan dan ibu kepada anak-anaknya.
Kita dapati para ilmuan agama menegaskan bahawa ibubapa berpotensi besar mewariskan kepada anak cucu mereka sifat-sifat jasmaniah dan rohaniah melalui gen yang mereka miliki.
Dalam bahasa hadis, Nabi SAW memberi nama gen dengan 'iriq.
Justeru Rasullulah SAW mengingatkan agar berhati-hati dalam memilih untuk menabur benih yang mengandungi gen kerana al-'irqu dassas, (gen itu sedemikian kecil dan tersembunyi namun memberi kesan dan pengaruh kepada keturunan).
Inilah yang menjadi satu sebab mengapa al-Quran melarang seorang Muslim yang baik dan beriman untuk berkahwin dengan seorang penzina (al-Quran24:3)
Islam memandang dunia kanak-kanak penuh dengan keindahan dan mempesonakan. Agar keindahan dan keterpersonaan itu tidak menyebabkan kanak-kanak leka dan membesar dalam suasana tanpa memahami adab, Islam mengamanahkan ibu bapa agar memberikan perhatian, panduan dan bimbingan.
Jika ibu bapa membiarkan kanak-kanak diselubungi keterpesonaan melampau, kanak-kanak membesar dalam suasana yang tempang dan berbahaya.
Kanak-kanak akan mengambil tindakan berdasarkan rasa dan gerak naluri semata-mata. Akan menyebabkan terjerumus ke lembah bahaya dan penuh kepura-puraan.
Rasulullah SAW menganjurkan agar kita menghormati anak-anak dengan memberi pendidikan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memberi rahmat kepada seseorang yang membantu anaknya sehingga anak itu dapat berbakti kepadanya.
Ada seorang sahabat bertanya, ''Bagaimana cara menbantunya? jawab baginda,"Menerima segala usahanya walaupun kecil, memaafkan kesilapannya, tidak membebaninya dengan beban yang berat dan tidak pula memaki sehingga melukai hatinya"
Mengeluh
Kita sering mendengar ibu bapa mengeluh tentang anak-anak yang nakal, degil dan tidak mendengar kata. Sehingga keluar kata-kata seperti "memang dasar anak degil, anak syaitan atau lain perkataan yang tidak baik" daripada mulut ibu bapa sendiri.
Mereka sebenarnya tidak sedar bahawa kedegilan anak-anak itu adalah berpunca daripada salah asuhan mereka sendiri.
Prof Dr. Hamka menjelaskan cara terbaik mendidik anak ialah: ''Hendaklah perjalanan hidupmu dengan anak-anakmu lurus dan pertengahan. Hendaklah kamu menjadi kaca yang jernih dan bercahaya untuk ditilik oleh anak-anakmu, Jauhkan dirimu dari perbuatan tercela."
Anak-anak mudah meniru. Orang tuanya merupakan idolanya. Bila melihat kebiasaan baik dari kedua orang tuanya, kanak-kanak dengan cepat mahu mencontohinya. Dunia anak adalah dunia permainan. Dengan bermain dan berhubung dengan mereka secara tidak langsung kita juga mendidiknya. Justeru itu Rasulullah SAW menekankan pentingnya bermain bersama anak.
Sabda baginda yang bermaksud: Siapa yang menggembirakan hati anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Persoalannya sekarang kepada siapa kita harus belajar mendidik anak-anak. Al-Quran dan hadis menawarkan pelbagai metode sebagai panduan yang harus dilaksanakan oleh para pendidik, termasuk ibu bapa.
Rasulullah SAW adalah contoh yang tepat untuk diikuti di mana segala perbuatannya mendidik anak-anak merupakan manifestasi daripada al-Quran.
Rasulullah SAW kadang memberikan nasihat secara langsung kepada anak-anak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Nak, jagalah semua perintah Allah, nescaya Allah memeliharamu. Peliharalah semua perintah Allah, nescaya engkau dapati Dia dihadapanmu. Apabila engkau memohon hal itu kepada Allah, dan bila meminta pertolongan mintalah kepada Allah.
Dan ketahuilah sekiranya seluruh masyarakat sepakat berbuat sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka semua manfaat itu hanyalah Allah yang menentukannya dan bila mereka akan berbuat jahat kepadamu, maka kejahatan itu tidak akan menimpamu kecuali yang telah ditetapkan Allah, terangkat Qalam dan keringlah pena. (Riwayat Tarmizi)
Kegelisahan Rasulullah SAW dalam mendidik anak-anak dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar pengakuan seorang sahabat bahawa mereka tidak pernah mencium anak-anak. Walhal perbuatan itu sangat penting untuk perkembangan mental yang sihat. Sudahkah kita mencium anak-anak kita hari ini?
Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang tidak mengasihi (orang lain) maka dia tidak akan dikasihi. Kehadiran anak-anak dalam sebuah rumah tangga sepatutnya menjadi penyejuk hati dan penenang jiwa. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang berbunyi: …..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati. (Surah Al-Furqan:74)
Luqman Al-Hakim, seorang yang soleh dan sangat menyedari tanggungjawab itu. Al-Quran telah dijadikan teladan bagi menjadi dirinya sebagai seorang tua yang baik dan bijak. Dalam al-Quran merakamkan nasihatnya kepada anaknya.
"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu perbuatan zalim yang besar, katanya. Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (orang lain) mengerjakan yang baik, dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan mungkar; dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu."
Begitu besarnya amanat dan nilai yang terdapat di dalam diri seorang anak sehingga ia boleh menjadi penghalang orang tuanya daripada seksaan api neraka.
Kisah Aisyah r.a. isteri Rasulullah SAW yang pernah didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.
Ummul mukminin ini mengisahkan: ''Aku memberikannya dua biji kurma. Kemudian ia memberikan kurma itu kepada kedua-dua anaknya, dan selebihnya ia berniat untuk memakannya. Namun kedua-dua anaknya berusaha merebut sehingga kurma itu pun jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan miskin itu tidak jadi makan satu biji kurma pun."
Lantaran peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam pada diri Aisyah lalu ia menceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bemaksud:
Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia memperlakukan secara baik, maka anak-anaknya itu akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM ikut jadual

Peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM ikut jadual

PUTRAJAYA 4 Ogos - Kerajaan tidak akan menangguhkan empat peperiksaan awam meskipun berlaku penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) kerana tidak mahu mengganggu jadual yang telah ditetapkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang dijangkiti H1N1 akan diasingkan atau diarah menduduki peperiksaan di hospital jika keadaannya tidak serius dan mendapat nasihat doktor.
"Kita telah putuskan peperiksaan-peperiksaan awam akan diadakan mengikut jadual. Ini penting supaya tidak terganggu jadual peperiksaan yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di sini hari ini.
Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan supaya tidak menangguhkan empat peperiksaan awam kerana ia boleh menjejaskan persediaan pelajar serta guru.
Berdasarkan takwim Kementerian Pelajaran, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijadual dari 8 hingga 10 September ini manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober dan 12 hingga 13 Oktober ini.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober dan 26 hingga 27 Oktober serta ujian bertulis (19 November-16 Disember) manakala Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 19 hingga 21 Oktober.
Majlis Peperiksaan Malaysia juga menetapkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 18 November hingga 10 Disember ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, sekiranya ramai pelajar terbabit dengan peperiksaan menghidap H1N1, sekolah akan diberikan cuti bagi mengelak wabak tersebut menjangkiti pelajar-pelajar lain.
"Hanya pelajar yang ambil peperiksaan datang ke sekolah," ujarnya.
Selain itu, beliau menjelaskan, kerajaan juga tidak berhasrat mempercepatkan cuti sekolah pertengahan penggal pada penghujung bulan ini.

Ubat H1N1- Insya allah....

Ubat H1N1- Insya allah....



Terjemahan:

Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, nabi Muhammad S.A.W. yang dengan berkat

baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga

memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan keatas keluarga dan sahabat baginda.

Wahai sahabat sekalian di waktu kita di serang penyakit yang berwabak pada ketika ini….

Marilah kita sama-sama amalkan selawat syifa’ diatas moga2 allah melindungi kita darinya.

Doa akan dimakbulkan kerana selawat, inilah yg menaikkan doa itu ke langit. Doa juga akan diterima dgn berkat berselawat.

Sebab itu selawat ada dlm doa.

Sunday 2 August 2009

H1N1 mudah menjangkiti golongan muda

H1N1 mudah menjangkiti golongan muda
Jumlah korban H1N1 hampir 1,000 orang

WASHINGTON - Kes kematian akibat penularan wabak Influenza A (H1N1) di seluruh dunia kini dilaporkan mencecah hampir 1,000 orang selepas Amerika Syarikat (AS) mencatat 51 lagi kes kematian baru akibat H1N1.

Jumlah kematian keseluruhan akibat virus itu di negara berkenaan sudah mencecah 353 kes setakat ini.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) memaklumkan angka terbaru itu diperoleh kelmarin selepas pemantauan rapi dijalankan di seluruh negara.

Seramai 5,514 orang dimasukkan ke hospital di seluruh AS akibat jangkitan H1N1.

CDC turut memberitahu akan mengumumkan kemas kini jangkitan dan kematian setiap minggu.

"CDC akan melaporkan kes kematian dan jangkitan setiap minggu dan akan terus menggunakan sistem pemantauan konvensional untuk mengesan perkembangan virus," kata kenyataan di laman web pusat itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes kematian akibat H1N1 kini semakin membimbangkan.

Wabak H1N1 dikatakan lebih bahaya kerana mudah menjangkiti golongan muda berbanding mereka yang lebih berusia.

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:

"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan",

Bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Firman Allah bermaksud:

"Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa." – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud:

"Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123).

Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:

"Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.

Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah:

"Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.

INFO

• Syaaban adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.

• Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.

• Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.

• Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.