Wednesday 26 September 2012

Menjaga Mata Di Usia 40 an

USIA tidak mampu dihindari. Semakin bertambah angka, pelbagai organ tubuh turut terjejas dan semakin menurun prestasinya.
Jantung, paru-paru dan buah pinggang antara yang terkesan akibat proses penuaan lalu menjejaskan kesihatan malah nyawa.
Bagusnya, orang kita semakin sedar kepentingan menjaga kesihatan dengan melakukan pelbagai pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dan pelbagai lagi.
Namun, pemeriksaan mata kurang diberi penekanan. Tahukah anda, kebarangkalian untuk menjadi buta tanpa melihat sebarang simptom amat tinggi terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas?
Glaukoma iaitu kerosakan pada saraf optik antara punca kebutaan yang berlaku secara senyap tanpa menunjukkan sebarang simptom dan sebenarnya ia mampu dirawati jika melakukan pemeriksaan mata lebih awal.
Dekan International Medical School, Management & Science Universiti (MSU) dan Pakar Perunding Oftalmologi, Profesor Dr. Normalina Mansor berkata, ramai individu yang menjadi buta akibat glaukoma kerana lambat melakukan pemeriksaan.
"Ramai yang tidak perasan mata juga sama penting seperti organ-organ lain dan perlu diberi perhatian dengan melakukan pemeriksaan terutamanya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
"Ini kerana, sistem dan organ-organ badan akan terjejas apabila kita semakin berusia termasuklah mata.
"Kebanyakan individu hanya berjumpa dengan pakar mata apabila keadaan mata semakin teruk atau berada di tahap yang tidak mampu dirawati.
"Mereka terkejut apabila saya maklumkan masalah mereka seolah-olah perkara sedemikian tidak akan berlaku sedangkan ia berubah mengikut usia.
"Jangan sekadar melakukan pemeriksaan tahap kerabunan di kedai-kedai cermin mata kerana mereka tidak dapat mengesan lebih mendalam tentang masalah mata kecuali di klinik pakar mata," ujarnya ketika ditemui di Klinik Pakar Dr. Normalina, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, baru-baru ini.
Empat jenis masalah mata yang menjadi punca utama kebutaan adalah glaukoma, katarak, degenerasi makula dan diabetik rinepati.
Terang Normalina, pelbagai lagi masalah mata lain akibat usia yang semakin menganjak boleh menjejaskan kehidupan harian.
Selain buta, sekurang-kurangnya individu yang mempunyai masalah mata mengalami rabun dekat atau jauh, ketidakselesaan, kabur penglihatan dan imej yang tidak lurus.
Berikut antara masalah mata yang sering dihadapi mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Tuesday 25 September 2012

6 Cara Mencapai Keredaan Allah


1. Apapun yang kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini, seharusnya menuju kepada matlamat memperoleh keredaan Allah. Tidak kira usaha kita sekecil manapun, ia seharusnya menepati jalan dibenarkan agama dan tidak mudah hanyut dan tersasar daripada landasan ditetapkan.

Untuk lebih jelas bagaimana cara kita mampu mencapai keredaan Allah, beberapa panduan dikemukakan Imam at-Tirmizi yang mungkin dapat memberi ruang kepada kita bermuhasabah diri.
Pertama, kita mesti bertaubat kepada Allah. Menurut beliau, tiada jalan sebaik taubat dalam usaha meraih keredaan Allah. Panduan beliau ini memang tepat seperti diperintahkan Allah kepada kita.

Banyak sekali ayat Allah memperkatakan suruhan bertaubat. Antaranya ialah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang membawa maksud: “Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri.”

Allah SWT juga berfirman bahawa orang bertaubat adalah insan yang akan mendapat kebahagiaan. “Orang yang bertaubat, yang memuji Allah, yang mengembara, yang rukuk, yang sujud yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah mungkar dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu.” (At-Taubah: 112)

2. Kedua ialah hidup dalam keadaan zuhud. Menanamkan sifat zuhud menjadi agenda sangat penting kerana tanpanya akan mengakibatkan terbit nilai peribadi keji seperti bersikap tamak terhadap hal keduniaan.

Rasulullah SAW berpesan kepada kita yang zuhud terhadap dunia tidaklah bermakna kita mengharamkan yang halal dan tidak mahu berusaha mencari harta kekayaan, tetapi zuhud yang sebenarnya dan menepati erti makna ialah adanya keyakinan dan berqanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah.
 
3.Pesanan ketiga at-Tirmizi ialah sentiasa berusaha melawan hawa nafsu. Sesungguhnya orang yang ditenggelami hawa nafsu menjadi ‘lubuk kegemaran’ syaitan kerana orang sedemikian mudah dilalaikan dari menjalani kehidupan berasaskan kepatuhan terhadap perintah Allah.

4. Petua keempat ialah kita mencintai Allah SWT melebihi dari segala-galanya. Hal ini bertepatan apa dinyatakan Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah. Kalian benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku nescaya kamu akan dicintai Allah.” (Ali-Imran: 31).

5. Seterusnya kata Imam at-Tirmizi lagi, “Kita hendaklah juga menyerapkan ke dalam jiwa rasa takut kepada Allah SWT. Ini kerana apabila rasa takut itu sebati dalam hati dan jiwa, seseorang akan berusaha melakukan yang terbaik dalam amal ibadah dan memperbanyakkan amalan soleh.”

6. Pesanan terakhir Imam at-Tirmizi ialah manusia perlu berusaha mendekatkan diri kepada Allah iaitu dengan cara mendirikan solat khasnya yang wajib termasuk sunat.